Penternak guna sisa sawit sebagai makanan ayam bakal terima insentif

Johari
Johari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang untuk memberi insentif kepada penternak ayam yang menggunakan makanan dihasilkan daripada sisa sawit sebagai makanan tambahan kepada haiwan ternakan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah tersebut merupakan antara usaha mengurangkan kebergantungan negara kepada makanan ternakan import.

"Kita mahu menggalakkan (penternak) menggunakan bahan sisa ini sebagai makanan tambahan kepada yang dibeli dari luar negara seperti jagung dan kacang soya.

"Kita mahu memberi insentif supaya jika dia pakai lima hingga 10 peratus bahan ini, dia akan dapat insentif dari segi pengeluaran ayam dan kita mungkin akan galakkan.

"Jika ada penerimaan meluas dalam negara, maka banyak makanan import dapat dikurangkan kerana menggunakan asas kelapa sawit untuk makanan ayam," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai kerjasama kementerian dengan kerajaan Terengganu dalam usaha menghasilkan makanan ternakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan ternakan import.

Dalam pada itu Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa memaklumkan, industri biojisim menerusi sektor agrikomiditi berasaskan sisa sawit dijangka menjana ekonomi bernilai RM17 bilion dan pelaburan sebanyak RM7 bilion menjelang 2030.

Beliau menjelaskan, jumlah tersebut juga dapat mewujudkan sebanyak 33,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Peluang pekerjaan baharu diwujudkan bagi industri penghasilan biopelet, industri penjanaan tenaga daripada biojisim, industri pulpa dan kertas, industri karbon terawat dan penghasilan biobaja,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!