Tol percuma sempena Deepavali pada 29 dan 30 Oktober
KUALA LUMPUR - Pengguna lebuh raya di seluruh negara akan menikmati tol percuma pada 29 dan 30 Oktober sempena sambutan Deepavali.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan tol percuma bakal dilaksanakan di semua lebuh raya bermula 12.01 tengah malam esok hingga 11.59 malam, 30 Oktober.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengecualian itu hanya diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor Darul Takzim.
"Kos pemberian tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM38 juta akan ditanggung oleh kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.
"Pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan teras utama kerajaan Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat di samping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.
Sehubungan itu, Nanta berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang itu sebaiknya dan merancang perjalanan bagi melancarkan pergerakan trafik berdasarkan panduan yang disediakan.
"Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon supaya semua pengguna jalan raya memandu dengan berhemah, mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.
"Berehatlah jika keletihan dan mengantuk. Bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!