Netanyahu tolak inisiatif gencatan senjata Mesir di Gaza

Netanyahu menolak inisiatif yang dicadangkan oleh Mesir pada Ahad untuk gencatan senjata jangka pendek dengan Hamas di Semenanjung Gaza.
Netanyahu menolak inisiatif yang dicadangkan oleh Mesir pada Ahad untuk gencatan senjata jangka pendek dengan Hamas di Semenanjung Gaza.
A
A
A

BAITULMUQADDIS - Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak inisiatif yang dicadangkan oleh Mesir pada Ahad untuk gencatan senjata jangka pendek dengan Hamas di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi mengumumkan cadangan itu, menurut media Israel.

"Kami mencadangkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza selama dua hari untuk menukar empat tawanan (Israel) dengan beberapa tahanan (Palestin), dan kemudian rundingan akan berlangsung selama 10 hari untuk menjadikan gencatan senjata itu satu perjanjian kekal,” kata Al-Sisi semasa sidang media bersama Presiden Algeria Abdelmadjid Tebboune di ibu negara, Kaherah.

Walaupun kebanyakan menteri Israel menyokong cadangan Mesir, Tel Aviv menolak perjanjian itu disebabkan bantahan daripada Netanyahu yang menegaskan bahawa "rundingan hanya akan berlaku ketika serangan masih berjalan," menurut saluran Israel Channel 12.

Saluran itu turut mengesahkan bahawa pihak keselamatan Israel juga menyokong cadangan berkenaan.

Israel menganggarkan bahawa kira-kira 101 warganya masih ditahan oleh kumpulan Hamas di Gaza di tengah-tengah kebimbangan bahawa sebahagian daripada mereka mungkin telah terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan padat penduduk itu.

Usaha yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar untuk mendapatkan gencatan senjata serta memudahkan pertukaran tahanan antara Israel dan Hamas setakat ini terhenti, dengan Netanyahu enggan mempertimbangkan untuk menamatkan konflik itu.

Tentera Israel meneruskan serangan besar-besraan ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera.

Artikel Berkaitan:

Hampir 43,000 orang telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 100,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. - Bernama-Anadolu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!