Bangunan usang jadi lokasi warga asing lampias nafsu digempur
KUALA LUMPUR - Kegiatan pelacuran yang bersarang di sebuah bangunan usang di Jalan Pasar Baharu, Pudu di sini digempur dalam Op Noda #KLStrikeForce pada Ahad.
Lokasi yang telah beberapa kali diserbu pihak berkuasa sebelum ini dikesan mengubah taktik apabila wanita warga asing dipercayai pelacur tidak lagi mencari pelanggan di kedai-kedai makan di tingkat bawah bangunan.
Sebaliknya mereka akan menunggu pelanggan di hadapan pintu bilik dalam bangunan terbabit serta mempamerkan aksi nakal bagi menarik perhatian pelanggan.
Bangunan 10 tingkat yang menjadi tumpuan warga asing untuk melampiaskan nafsu itu dipercayai aktif bermula jam 10 malam sehingga 4 pagi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi berkenaan dijalankan bemula pada jam 11.45 malam oleh sepasukan anggota dan pegawai D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
"Serbuan dibuat melibatkan beberapa unit bilik hotel bajet terbabit sebelum menahan 10 wanita warga asing disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran.
"Kesemua suspek dan pelbagai barangan termasuk kondom, gel pelincir, minyak urut dan tisu dirampas dalam operasi ini," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, siasatan mendapati modus operandi kegiatan pelacuran ini adalah wanita warga asing terbabit akan menunggu di hadapan bilik dan memanggil pelanggan.
"Mereka menawarkan perkhidmatan seks dengan harga RM100 kepada pelanggan yang lalu di kawasan sekitar hotel bajet ini.
"Kesemua wanita warga asing ini disyaki masuk sebagai pelancong serta menjalankan kegiatan pelacuran secara freelance tanpa dikawal mana-mana penjaga," katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati penawaran perkhidmatan seks kepada pelanggan adalah one shot dan sasaran pelanggan adalah warga asing dan juga pelanggan tetap.
"Kes disiasat bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!