Tukang pasang khemah didakwa memandu dalam keadaan mabuk

Tangga Paandi diiring polis ketika hadir ke mahkamah pada Isnin atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang murid Tahun Lima, Khamis lalu.
Tangga Paandi diiring polis ketika hadir ke mahkamah pada Isnin atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang murid Tahun Lima, Khamis lalu.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang pemasang khemah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang murid Tahun Lima, Khamis lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan tertuduh B Tangga Paandi, 28, tidak memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kenderaan jenis Perodua Myvi telah memandu kenderaan tersebut dengan mempunyai sebegitu banyak alkohol dalam badan iaitu melebihi had yang ditetapkan sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang murid lelaki berusia 11 tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada 24 Oktober lalu jam lebih kurang 7 pagi di Kilometer 1.2 Jalan Pantai, Port Dickson.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun serta denda minimum RM30,000 dan maksimum RM50,000.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada tujuh tahun dari tarikh sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan antara RM10,000 ke RM12,000.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan rendah kerana sedang menjaga emak.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan dan lesen memandu digantung di mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes bagi lantikan jurubahasa 21 November depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!