Warga emas OKU maut terperangkap kebakaran
BATU GAJAH - Seorang warga emas kurang upaya (OKU) maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Bendera, Ara Payung di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa, Alang Halimah Amban, 70, yang mengalami cacat penglihatan dan pekak ditemui terbaring di lantai bahagian dapur dengan kesan terbakar lebih 60 peratus pada bahagian badan.
Jirannya, Nor Rina Ahmad Layali, 43, berkata, beberapa penduduk kampung cuba menyelamatkan mangsa dengan memecahkan tingkap dapur, namun gagal kerana api marak.
"Sebelum kejadian, saya nampak mangsa duduk di bahagian depan rumah tetapi selang 30 minit selepas itu saya dengar bunyi bising dan sebaik keluar rumah nampak api sudah marak.
"Penduduk kampung mendengar sayup-sayup jeritan meminta tolong. Mereka cuba menarik keluar mangsa dari tingkap dapur tetapi tidak berjaya kerana api sudah menyambar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa yang mampu berjalan menggunakan tongkat mendiami rumah itu seorang diri sejak sekian lama kerana tidak mahu tinggal bersama anak-anak.
"Setiap hari anak lelaki atau saudara mara terdekat akan datang menguruskan keperluan makan dan minumnya," katanya.
Dia berkata, itu adalah kejadian kedua kebakaran berlaku melibatkan rumah sama.
"Kali pertama sekitar tahun lepas kejadian berlaku ketika mangsa nyenyak tidur dan tidak sedar kebakaran berlaku tetapi dia berjaya ditarik keluar oleh saudara-mara yang kebetulan datang berziarah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mayat mangsa ditemui oleh sepasukan anggota bomba ketika menjalankan kerja-kerja pemadaman.
Katanya, hasil bedah siasat di Hospital Batu Gajah mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas kerana terhidu asap tebal.
"Punca kebakaran masih belum dikenalpasti, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!