PM mahu prasarana, kemahiran tenaga kerja sektor logistik di tahap terbaik

Anwar (tengah) bergambar pada Majlis Perasmian DHL Express Malaysia Kuala Lumpur Gateway di KLIA Air Cargo Terminal 1 (KACT1), pada Isnin. Foto Bernama
Anwar (tengah) bergambar pada Majlis Perasmian DHL Express Malaysia Kuala Lumpur Gateway di KLIA Air Cargo Terminal 1 (KACT1), pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak termasuk Kementerian Pengangkutan (MOT), agensi berkaitan dan syarikat swasta dalam bidang logistik memastikan aspek kemudahan prasana dan peningkatan kemahiran tenaga kerja dalam bidang itu berada pada tahap terbaik.

Beliau berkata, perkara itu adalah selari dengan fokus kerajaan pada masa ini yang memberi tumpuan terhadap bidang perindustrian, pendigitalan, peralihan tenaga dan semikonduktor.

Perdana Menteri berkata, dalam tempoh setahun ini, pelabur besar telah menunjukkan minat kepada negara dan sudah tentu kemudahan prasarana di pelabuhan, pengangkutan dan logistik menjadi perhatian mereka.

"Di antara isu yang ditingkatkan adalah, apabila pelabur masuk di Selangor, Kulim (Kedah), Johor, Sabah dan Sarawak umpamanya, mereka akan lihat keupayaan ekosistem keseluruhannya.

"Sebab itu saya mahu kementerian dan rakan-rakan memberikan tumpuan yang lebih dalam bidang ini kerana tahap kepesatan perubahan itu terlalu cepat dan kalau jentera kita lembab, kita akan ketinggalan,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Perasmian Kompleks DHL Express di Zon Perdagangan Bebas KLIA, di sini pada Isnin.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Ketua Setiausaha MOT, Datuk Jana Santhiran Miniayan; Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pasifik DHL Express, Ken Lee dan Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo.

Beliau berkata, pihak berkaitan seperti Malaysia Airports Holdings Bhd, MOT, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen perlu memastikan seluruh prasarana dalam ekosistem logistik diberikan perhatian.

"Ini yang selalu kita berikan perhatian kerana pelabuhan, pengangkutan, syarikat penerbangan dan pengurusan logistik itu sangat kritikal.

Artikel Berkaitan:

"Kemudian, setelah kita lihat peningkatan yang begitu meyakinkan di Selangor, Johor dan Kulim Hi-Tech, kita lihat penumpuan baharu oleh syarikat-syarikat gergasi dalam bidang pusat data dan kecerdasan buatan (AI) di dalam negara.

"Jadi, ini semua membanggakan, tetapi kalau tidak kita uruskan dengan baik, ia akan menghambat kemajuan yang kita harapkan," kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyarankan DHL untuk menyediakan latihan peningkatan kemahiran kepada pekerja dalam bidang automasi dan AI.

"Oleh itu, apa yang kita minta daripada DHL sepertimana yang diusahakan oleh mana-mana syarikat besar yang lain adalah menumpukan lebih perhatian kepada pengurusan menambah kemahiran pekerja melalui satu pusat kecemerlangan dan latihan yang lebih daripada kemahiran biasa.

"Menambah kemahiran ini kerana kita sudah menumpukan dalam bidang automasi, digital dan AI. Saya percaya DHL sebagai syarikat gergasi mampu mengupayakan anak-anak muda dalam bidang ini," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!