Indeks jenayah di Terengganu catat peningkatan - Mohd Khairi

Mohd Khairi (kiri) menunjukkan barang kes yang akan dilupuskan ketika Majlis Pelupusan Barang Kes Jenayah di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada Isnin.
Mohd Khairi (kiri) menunjukkan barang kes yang akan dilupuskan ketika Majlis Pelupusan Barang Kes Jenayah di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Indeks keseluruhan jenayah di Terengganu bermula Januari hingga September tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 251 kes iaitu merekodkan sebanyak 1,272 kes berbanding 1,021 kes tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, daripada jumlah tersebut, penyumbang terbesar kes jenayah terbabit adalah kes harta benda iaitu melibatkan lain-lain curi dan kes pecah rumah.

Selain itu, katanya terdapat peningkatan dalam kes kekerasan sebanyak 2.54 peratus melibatkan pecahan bagi kes rogol, samun berkawan tanpa senjata api dan kes mendatangkan cedera.

"Penyelesaian jenayah indeks bagi tempoh Januari hingga September tahun ini pula mencatatkan penyelesaian sebanyak 974 kes bersamaan dengan 76.57 peratus melebihi petunjuk prestasi utama (KPI) 45 peratus yang ditetapkan.

Mohd Khairi (tengah) berkata kesemua barang kes akan dilupuskan dengan cara musnah melalui kaedah e-sisa dan jualan sisa besi serta pepejal.
Mohd Khairi (tengah) berkata kesemua barang kes akan dilupuskan dengan cara musnah melalui kaedah e-sisa dan jualan sisa besi serta pepejal.

"Selain itu, kadar pertuduhan bagi tempoh Januari hingga September lepas adalah sebanyak 52.16 peratus juga mencapai KPI 45 peratus yang telah ditetapkan.

"Kita akan terus menangani kes-kes jenayah bagi merealisasikan visi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai peneraju keselamatan bagi mengekalkan Malaysia selamat dan aman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Jenayah di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Khairi berkata, pelupusan barang kes adalah melibatkan 523 unit barang kes am; 11,898 unit karton rokok berkait kes kontraban; 220 unit komponen bitcoin serta 23 unit barang kes perjudian yang melibatkan keseluruhan sebanyak 291 kertas siasatan dari tujuh daerah di negeri ini.

Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai barang kes yang dilupuskan adalah sebanyak RM741,496.54 melibatkan barang kes dari tahun 2010 sehingga 2023 di mana sebahagiannya telah pun dilupuskan di peringkat daerah.

Mohd Khairi (tengah) memeriksa barang jenayah dilupuskan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada Isnin.
Mohd Khairi (tengah) memeriksa barang jenayah dilupuskan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada Isnin.

"Kesemua barang kes akan dilupuskan dengan cara musnah melalui kaedah e-sisa dan jualan sisa besi serta pepejal.

"Jadi demi memastikan tiada pencemaran terhadap alam sekitar, kontraktor yang telah dilesenkan dilantik untuk menguruskan pelupusan bagi memastikan barang–barang dilupuskan secara teratur dan selamat.

"Saya berharap pelupusan barang kes ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan dan lambakan di stor barang kes di daerah-daerah di dalam Kontinjen Terengganu," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!