'Tak sangka bawa pulang jenazah anak '- Jaeh

Jaeh menunjukkan gambar anaknya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HTAA pada Isnin.
Jaeh menunjukkan gambar anaknya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HTAA pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Bapa kepada enam anak tidak menyangka perancangan untuk pulang ke kampung sempena cuti Depavali bertukar pilu apabila dia terpaksa membawa pulang jenazah anaknya, Muhammad Adib Suhail Jaeh yang maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan pada pagi Isnin.

Bapa mangsa, Jaeh Saliman, 55, berkata, perancangan asal dia dan arwah Muhammad Adib, 20, yang juga pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di sini akan pulang ke Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai, Johor Rabu ini.

Menurutnya, namun takdir mengubah apabila anak kelimanya itu maut dalam kemalangan dan pulang ke kampung dua hari lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya.

"Minggu lalu, saya ada mesej arwah untuk mengambilnya dan kami akan pulang bersama-sama ke Pulai, dan arwah bersetuju.

"Tapi, ia berlaku sebaliknya apabila saya perlu membawa pulang jenazah arwah lebih awal dan ia sebenarnya mengejutkan kami sekeluarga kerana kali terakhir bertemu arwah di Beserah pada 16 September lalu," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pada Isnin.

Dia yang bekerja sebagai penolong penguasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Kemaman, Terengganu berkata, sebelum ini arwah sering bercerita mengenai ramai rakannya terlibat dalam kemalangan jalan raya setiap kali berbual dengannya.

Katanya, arwah juga sanggup menaiki bas untuk melawat salah seorang rakannya di Kota Tinggi, Johor yang terlibat dalam kemalangan.

Lebih menyentuh hati, Jeah berkata, arwah pernah menyatakan keinginannya untuk meninggal dalam kemalangan.

Artikel Berkaitan:

"Arwah kata kalau boleh dia pun hendak mati dalam keadaan yang sama, saya tidak sangka kata-kata itu menjadi kenyataan pada hari ini.

"Arwah anak yang baik dan rapat dengan saya. Walaupun kami reda dengan ketentuan ALLAH SWT tapi kehilangan ini amat dirasai,” katanya dalam nada sayu.

Jenazah Muhammad Adib dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kangkar Pulai, Johor Bahru hari ini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua penuntut Polisas maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di Jalan Pintasan Kuantan berdekatan Loji Rawatan Air Semambu di sini pada pagi Isnin.

Penunggang motosikal, Muhamad Nor Iman Mahadi yang beralamat di Kampung Tanjong Chat, Kota Bharu Kelantan dan pembonceng, Muhammad Adib dari Taman Pulai Indah, Johor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!