Tanam padi huma sebagai persediaan hadapi El Nino

Zakaria menunjukkan padi huma yang dituai kepada Abdul Hadi (dua dari kiri) sambil disaksikan Sanusi (tiga dari kiri).
Zakaria menunjukkan padi huma yang dituai kepada Abdul Hadi (dua dari kiri) sambil disaksikan Sanusi (tiga dari kiri).
A
A
A

ALOR SETAR - Pemilik sawah terbiar di negeri ini diseru mengusahakan tanaman padi huma sebagai persediaan menghadapi fenomena El Nino pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman berkata, padi huma atau padi darat dianggap alternatif terbaik untuk menampung bekalan beras keluarga sekiranya berlaku krisis makanan.

Katanya, tanaman padi huma juga lebih mudah dijaga dan tidak memerlukan air yang banyak seperti tanaman padi biasa.

"LZNK sudah cuba tanam sebanyak dua hektar di Sik dan kita sedang tanam lagi empat hektar di kawasan Bendang Man, Sik,” Katanya ketika ditemui selepas proses tuaian pertama padi darat di halaman kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon di sini pada Ahad.

Turut hadir menyaksikan proses tuaian itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Padi huma di pekarangan rumah Menteri Besar yang ditanam 28 Jun lalu.
Padi huma di pekarangan rumah Menteri Besar yang ditanam 28 Jun lalu.

Menurutnya, musim kering yang dijangka akan berlaku nanti meyakinkan orang ramai untuk memilih padi darat sebagai tanaman alternatif.

“ ia boleh ditanam walaupun di tapak sawah, malah pengalaman saya padi ni senang diurus apabila di tanam di tapak sawah yang terbiar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, rakyat di negeri ini turut disaran menanam padi darat di halaman rumah seperti yang diusahakan di halaman rumah menteri besar.

“Tanaman padi jenis bario di halaman rumah menteri Besar itu mengambil masa empat bulan untuk dituai selepas di tanam pada 28 Jun lalu.

Padi huma yang telah dituai.
Padi huma yang telah dituai.

"Apa yang kita nak cerita padi darat atau padi huma ini dia berpotensi di tanam oleh semua orang kerana mudah diurus, maknanya siapa yang ada tanah kosong dia boleh tanam,” ujarnya.

Zakaria berkata, kaedah jarak yang diguna pakai antara satu pokok ke satu pokok adalah 12 inci.

“Pengalaman kita boleh tanam lapan hingga 12 inci, sebab pertumbuhan dia tak sama dengan padi air, hendak tanam lagi rapat lagi baik bagi mengelak rumpai tumbuh dengan cepat," katanya.

Beliau berkata tempoh tuaian padi huma adalah antara tiga hingga enam bulan mengikut variati.

“Sekilogram benih boleh menghasilkan 80 kilogram (kg) padi. Daripada setiap kg padi akan dapat menghasilkan 60 peratus beras dan ia dijual dengan harga RM26 sekilogram.

“ Rasanya sedap dan ada variati yang mengeluarkan aroma yang wangi," katanya.

Pada Mac lalu, media melaporkan negara perlu bersedia mulai sekarang bagi berdepan kemungkinan hasil pertanian tempatan berkurangan pada 2025 akibat fenomena El Nino yang mengakibatkan cuaca panas berpanjangan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata kesan fenomena itu dapat dilihat ketika ini, apabila pengeluaran padi negara kekal pada kadar 62 peratus menyebabkan Malaysia perlu mengimport 38 peratus beras.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!