Kakak terkilan tak sempat pindahkan wang, adik maut kemalangan
KUANTAN - Kakak kepada salah seorang penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Muhamad Nor Iman Mahadi, 20, yang maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan terkilan kerana tidak sempat memindahkan sejumlah wang yang diminta adiknya itu.
Mariam Najwa, 25, berkata, arwah Muhamad Nor Iman sempat menghubunginya pada jam 3 petang Ahad untuk bertanya khabar, selain memaklumkan mahu menjual telefon bimbitnya.
"Arwah ada tanya sudah gaji ke belum dan mahu jual telefonnya dan saya bersetuju untuk membeli telefon bimbitnya. Sepatutnya hari ini saya akan pindahkan wang ke akaun banknya.
"Tapi belum sempat saya melakukan pindahan wang, saya terima panggilan dari abang di kampung pagi tadi memberitahu bahawa adik saya maut dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini pada Isnin.
Dia yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Kuala Lumpur meluahkan rasa sedih dan tidak menyangka pesanan yang diterima pada Ahad itu adalah yang terakhir daripada adiknya itu.
"Saya masih terkejut dengan berita ini dan itulah mesej terakhir dari adik kepada saya," luahnya sedih.
Bercerita lanjut, Mariam Najwa berkata, pertemuan terakhir mereka, ketika adik bongsu itu pulang ke kampung di Kota Bharu pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
"Kami sering berhubung melalui mesej sahaja, tapi arwah selalu pulang ke Kota Bharu apabila cuti dan kerap bertanya khabar keluarga melalui panggilan telefon.
"Jenazah adik saya akan dikebumikan di kampung Jalan Atas Bonggol, Kota Bahru hari ini," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua penuntut Polisas maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di Jalan Pintasan Kuantan berdekatan Loji Rawatan Air Semambu di sini pada pagi Isnin.
Penunggang motosikal, Muhamad Nor Iman yang beralamat di Kampung Tanjong Chat, Kota Bharu Kelantan dan pembonceng, Muhammad Adib Suhail Jaeh, dari Taman Pulai Indah, Johor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!