Angkasa mohon RM6 juta laksana Jualan Rahmah Madani Angkasa tahun depan
TEMERLOH - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memohon peruntukan sebanyak RM6 juta kepada kerajaan bagi melaksanakan Jualan Rahmah Madani Angkasa tahun depan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, jumlah itu dapat memberikan lebih banyak peluang dan ruang untuk koperasi di negara ini menjana pendapatan melalui penjualan produk masing-masing.
Menurutnya, pada 26 Julai lepas kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah meluluskan sebanyak RM2 juta untuk jualan tersebut.
"Sebanyak 146 koperasi dikenal pasti dan terlibat dalam Jualan Rahmah Madani Angkasa yang sedang berlangsung dan dijangka berakhir pada akhir bulan ini.
"Ini merupakan projek perintis kerana sebelum ini gerakan koperasi tidak mendapat peruntukan daripada KPDNKK untuk jualan Rahmah tapi dengan keputusan Perdana Menteri memasukkan koperasi khususnya Angkasa sebagai peneraju, maka ia suatu pengiktirafan kepada gerakan koperasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Koperasi Kariah Masjid An Nur Kuala Krau di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi Angkasa Pahang Zon II Pahang Tengah, Mohamad Hanifah BK Koya Moideen Kutty dan Pengerusi Koperasi tersebut, Datuk Zainal Azman Bidin.
Jelasnya, selain menawarkan barangan keperluan asas pada harga yang berpatutan kepada rakyat, program itu juga dapat membuka peluang perniagaan kepada koperasi memperkenalkan produk keluaran mereka dan dijual kepada masyarakat.
Beliau berkata, program itu juga secara tidak langsung memberi peluang kepada koperasi untuk menjana pendapatan melalui penjualan produk koperasi yang disenaraikan di bawah Program 100 Champion dan Pembangunan Produk.
Dalam pada itu, Abdul Fattah berharap lebih banyak koperasi kariah masjid ditubuhkan di negara ini.
"Setakat ini hanya kira-kira 600 masjid daripada 6,800 masjid seluruh negara menubuhkan koperasi kariah masjid dan jumlah ini tidak sampai pun 10 peratus.
"Jumlah ini masih rendah dan kita menyeru kepimpinan masyarakat, kariah masjid termasuk nazir mengambil inisiatif untuk menubuhkan koperasi sebagai platform bagi menggerakkan ekonomi ahli kariah supaya umat Islam tidak ketinggalan dalam meningkatkan taraf hidup," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!