Nurul Izzah pastikan Malaysia kekal relevan di peta trek dunia

Nurul Izzah permata baharu trek negara.
Nurul Izzah permata baharu trek negara.
A
A
A

KEJAYAAN Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menduduki tempat ketujuh acara keirin elit wanita dalam Kejohanan Berbasikal Dunia di Ballerup, Denmark minggu lalu, memastikan nama negara kekal relevan pada peta trek dunia.

Malah, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh percaya kehilangan legenda trek dunia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak dirasai dengan persembahan terbaharu ditampilkan Nurul Izzah.

Amarjit juga yakin pelumba cilik wanita kelahiran Jitra, Kedah itu yang baru berusia 21 tahun sebenarnya meraih pengalaman berharga berlatih dan bertanding bersama-sama ‘The Pocket Rocketman’ dalam pelbagai pentas kejohanan termasuk Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Katanya, PKBM sangat terasa kekosongan yang bakal ditinggalkan Datuk Azizulhasni yang sudah memerah keringat untuk mengharumkan nama Malaysia di Sukan Olimpik, Kejohanan Trek Sedunia, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA.

“Datuk Azizulhasni meraih pelbagai kejayaan dan gelaran. Gelaran yang masyhur sudah tentu apabila beliau muncul juara pada Kejohanan Berbasikal Trek Sedunia 2017 di Hong Kong, China.

“Justeru, apabila beliau berdepan kemungkinan meninggalkan terus sukan trek selepas Paris 2024, saya mengaku gementar dengan kekosongan ditinggalkan Datuk Azizulhasni.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Trek PKBM, saya terharu dengan senario Datuk Azizulhasni bakal bersara. Jadi siapakah yang akan menggantikan Datuk Azizulhasni.

“Saya yakin semua tahu dengan prestasi Mohd Shah Firdaus (Sahrum). Bagaimanapun apabila melihat sendiri kejayaan Nurul Izzah meraih tempat ketujuh di Ballerup, saya terasa sangat lapang.

Artikel Berkaitan:

“Saya tahu Nurul Izzah ada potensi untuk meraih banyak kejayaan seperti Datuk Azizulhasni. Dengan latihan dan bimbingan yang betul, saya yakin Nurul Izzah boleh jadi juara dunia seperti Datuk Azizulhasni,” katanya.

Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menegaskan sudah pun ada persamaan antara Azizulhasni dan Nurul Izzah.

“Selain sama-sama bersaiz sederhana tetapi kuat, Nurul Izzah juga sudah dinamakan sebagai ‘The Rocket Pocketwoman. Saya harap gelaran ini boleh menaikkan semangat beliau,” katanya.

Amarjit juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menegaskan bahawa PKBM akan berusaha sedaya upaya untuk membantu Nurul Izzah dan pelumba trek yang lain bagi memastikan mereka selesa dalam sesi latihan serta pertandingan.

“Datuk Azizulhasni mengakui bahawa beliau sentiasa menerima bantuan termasuk daripada MSN (Majis Sukan Negara), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan PKBM.

“Dalam hal ini, saya akan pastikan Nurul Izzah menerima pelbagai bantuan termasuk kewangan bagi memastikan persiapan ke sesuatu kejohanan berjalan lancar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!