[VIDEO] Permohonan maaf Najib tidak bawa apa-apa makna - Anthony

A
A
A

SEPANG - DAP menyifatkan permohonan maaf terbuka Datuk Seri Najib Razak kepada rakyat Malaysia berhubung kes salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membawa apa-apa makna.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke memberitahu, mahkamah sebelum ini telah membuktikan dan menjatuhkan hukuman bersalah ke atas bekas Perdana Menteri itu.

“Ini bukan soal terima permohonan maaf. Dengan permohonan maaf atau tidak, jenayah tetap jenayah. Dia (Najib) telah pun disabitkan, dan telah dibuktikan oleh mahkamah. Dia didapati bersalah dan ia kekal fakta.

“Jadi pada saya, permohonan maaf itu tidak bawa apa-apa makna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis perasmian DHL Express Kuala Lumpur Gateway pada Isnin.

Anthony Foto Bernama
Anthony Foto Bernama

Khamis lalu, Najib membuat permohonan maaf dalam kenyataan yang dibacakan oleh anaknya Datuk Mohamad Nizar.

Bekas Perdana menteri itu kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menerima permohonan maaf Najib itu.

Ketika diminta mengulas pandangan dan pendirian DAP sekiranya Najib diberikan hukuman tahanan di rumah, Anthony berkata, peruntukan tersebut belum diwujudkan memandangkan ia masih belum digubal sehingga kini.

Sementara itu beliau berkata, jenayah serius tidak wajar diberikan hukuman sedemikian.

“Tiada peruntukan sedemikian di bawah undang-undang untuk sebarang tahanan rumah. Jadi, perbincangan mengenai undang-undang tahanan rumah yang sedang digubal, ia adalah mengenai reformasi penjara.

“Ini bukan soal Najib. Terdapat ambang tertentu bahawa jenayah tertentu tidak boleh dimasukkan ke dalam tahanan rumah. Dan sudah tentu, jenayah yang serius tidak dibenarkan di bawah tahanan rumah,” jelasnya lagi. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!