Hotel NS wajib ada pasukan penyelamat di air bermula 2025

(Dari kanan) Haziz dan Nicole berjumpa dengan perseta kursus menyelamat di air yang diadakan di sebuah hotel di Port Dickson
(Dari kanan) Haziz dan Nicole berjumpa dengan perseta kursus menyelamat di air yang diadakan di sebuah hotel di Port Dickson
A
A
A

PORT DICKSON - Semua pengusaha hotel di Negeri Sembilan yang mempunyai kemudahan kolam renang diwajibkan untuk mempunyai pasukan penyelamat di air bermula tahun hadapan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, ia adalah sebagai persediaan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 selaras dengan saranan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Kita sedia maklum ada kekangan untuk pengusaha hotel mendapat pekerja dalam bidang ini.

"Tapi saya difahamkan MAH Negeri Sembilan telah pun mengambil inisiatif menganjurkan kursus menyelamat dan telah menganjurkannya buat tahun keempat dengan prosedur operasi standard (SOP) dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia dan dari segi latihan pula dikendalikan oleh bomba,"katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Kursus Keyakinan Di Air dan Teknik Menyelamat Di Air di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, beliau berkata, setiap hotel diwajibkan menghantar pekerja mereka untuk mengikuti kursus menyelamat di air.

Nicole(kiri) mendengar penerangan daripada pegawai bomba berhubung teknik menyelamat di air ketika Kursus Keyakinan Di Air dan Teknik Menyelamat Di Air di sebuah hotel pada Isnin.
Nicole(kiri) mendengar penerangan daripada pegawai bomba berhubung teknik menyelamat di air ketika Kursus Keyakinan Di Air dan Teknik Menyelamat Di Air di sebuah hotel pada Isnin.

Menurutnya, beliau percaya dasar baharu itu dapat memberi lebih keyakinan kepada pelancong untuk menginap di hotel negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, 90 peratus hotel yang mempunyai kolam renang dan berhampiran pantai di negeri ini telah pun mempunyai pasukan terbabit.

Ujarnya, sehingga kini kira-kira 100 kakitangan melibatkan 25 hotel telah pun mempunyai sijil penyelamat yang diiktiraf oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Jadi setiap hotel wajib menghantar pekerja mereka mengikuti kursus menyelamat ini dan ia tidak semestinya melibatkan mereka yang bertugas di bahagian kolam atau bahagian keselamatan saja, tapi juga lain-lain bahagian.

"Sebagai contohnya di Hotel Glory Beach Resort beberapa tahun lepas, pekerja pembersihan wanita yang mengambil kursus ini telah dapat menyelamatkan seorang mangsa lemas di kolam mereka," katanya.

Beliau berkata, setiap hotel perlu menyediakan sekurang-kurangnya dua anggota penyelamat yang menjaga bahagian kolam.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 22 hotel terlibat dalam kursus menyelamat yang dianjurkan buat kali keempat ini dengan 52 peserta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!