Angka korban ribut tropika Trami di Filipina meningkat kepada 116

Beberapa mangsa yang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat banjir mula kembali ke rumah masing-masing apabila banjir mulai surut pada Sabtu. Foto AFP
Beberapa mangsa yang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat banjir mula kembali ke rumah masing-masing apabila banjir mulai surut pada Sabtu. Foto AFP
A
A
A

MANILA - Angka korban akibat banjir besar dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh ribut tropika Trami yang melanda Filipina minggu lalu meningkat kepada 116 orang, dengan sekurang-kurangnya 39 orang masih hilang, lapor Xinhua.

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) Filipina pada Isnin memaklumkan ribut tropika Trami menyebabkan hujan lebat di negara itu bersamaan dengan taburan hujan untuk dua bulan, menjejaskan lebih 6.7 juta orang di 17 wilayah Filipina.

Operasi pencarian bagi 39 mangsa yang hilang, sama ada tertimbus dalam tanah runtuh atau dihanyutkan banjir masih diteruskan.

Trami, taufan ke-11 yang membadai Filipina tahun ini menyebabkan kemusnahan besar di Pulau Luzon, terutamanya di wilayah Bicol dan Calabarzon, serta kawasan di Filipina tengah dan selatan.

Tiga hari selepas Trami meninggalkan Filipina pada Jumaat, mangsa bencana masih menunggu bekalan makanan dan air bersih. Banyak kawasan masih kekurangan air minuman atau elektrik.

Beberapa mangsa yang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat banjir mula kembali ke rumah masing-masing apabila banjir mulai surut pada Sabtu.

Bagaimanapun, NDRRMC berkata kira-kira 1 juta orang yang kehilangan tempat tinggal masih berada di pusat pemindahan atau menumpang di rumah saudara-mara.

Kerugian yang dianggarkan akibat kerosakan infrastruktur ialah 1.54 bilion peso (kira-kira AS$26.35 juta), manakala kerugian dalam sektor pertanian dianggarkan 2.5 bilion peso (AS$43 juta).

Artikel Berkaitan:

Filipina sedang bersiap sedia untuk menghadapi lebih banyak hujan berikutan impak satu lagi siklon tropika, Kong-rey yang bertukar menjadi ribut tropika teruk pada pagi Isnin di Laut Filipina, 755 kilometer (km) ke timur Pulau Luzon.

Kong-rey ialah siklon tropika ke-12 yang melanda Filipina tahun ini. Bergerak ke arah barat pada kelajuan 20 km sejam, Kong-rey membawa angin berkelajuan 95 km sejam dengan tiupan sehingga 115 km sejam.

Secara purata, 20 taufan melanda Filipina setiap tahun. - Bernama-Xinhua

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!