[VIDEO] Ismail Sabri tarik saman fitnah terhadap pemilik Agenda Daily

A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menarik balik samannya terhadap pemilik Agenda Daily Media Enterprise berhubung penerbitan artikel yang didakwa memfitnah bekas Perdana Menteri itu, dua tahun lalu.

Semasa prosiding, peguam, K Ragunath yang mewakili Ismail Sabri, 64, berkata, anak guamnya selaku plaintif bersetuju untuk menarik balik kes terhadap Muhamad Izwan Mohd Zubit, 39.

Ismail Sabri bersalaman dengan Muhamad Izwan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.
Ismail Sabri bersalaman dengan Muhamad Izwan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.

“Anak guam bersetuju dengan terma tanpa kebebasan kos perintah untuk memfailkan semula kes dan tiada perintah mengenai kos,” katanya.

Sementara itu, peguam, Asiah Abd Jalil berkata, anak guamnya Izwan selaku defendan mengesahkan kenyataan berkenaan.

Mendengar perkara itu, Hakim, Datuk Aliza Sulaiman mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak kerana mencapai penyelesaian dengan baik.

“Susulan itu, kes berkenaan dibatalkan tanpa pembebasan untuk memfailkan semula dan tanpa perintah kos.

“Mahkamah melapangkan prosiding yang dijadualkan hari ini dan esok,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Parlimen Bera itu berkata, kes berkenaan tidak perlu diteruskan kerana isu yang dimainkan menyentuh tugas beliau selaku Perdana Menteri dan pilihan raya.

“Bagaimanapun, pilihan raya sudah selesai malah saya juga bukan lagi Perdana Menteri, jadi kes terbabit telah menjadi akademik.

“Jika diteruskan, ia akan merugikan masa mahkamah, sebab itu saya tarik balik saman,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selesai.

Ismail Sabri yang memakai kot berwarna hitam, bersalaman dengan Muhamad Izwan dengan disaksikan peguam-peguam mereka.

Pada 4 Mac 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ismail Sabri untuk memperoleh injunksi ad-interim terhadap Muhamad Izwan, bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte (dua pihak).

Pada 18 Februari tahun sama, Ismail Sabri memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi supaya defendan memadamkan artikel yang diterbitkan dan daripada membuat sebarang kenyataan berkaitan beliau.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya, mendakwa pada 30 Januari tahun berkenaan, Agenda Daily Media telah menerbitkan artikel bertajuk ‘Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, 'rayu' jangan tarik sokongan’ dalam laman webnya yang mengandungi pelbagai kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif.

Beliau mendakwa artikel itu antaranya membawa maksud bahawa beliau terdesak untuk terus menjadi Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun, dan sanggup merayu kepada parti politik tertentu supaya tidak menarik sokongan terhadapnya, selain mendakwa tempohnya sebagai Perdana Menteri adalah tempoh yang paling singkat dalam sejarah Malaysia.

Akibat daripada penerbitan artikel itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya sebagai seorang ahli UMNO dan ketika itu sebagai Perdana Menteri telah tercemar, dan penerbitan itu juga telah menyebabkan emosinya terganggu dan kenyataan-kenyataan fitnah yang terkandung dalam artikel tersebut, boleh membawa kesan buruk kepada kerjaya politiknya.

Sementara itu, Muhamad Izwan dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, beliau dan syarikat itu telah melaksanakan sikap kewartawanan yang bertanggungjawab semasa menulis dan memuat naik artikel dalam laman webnya berkaitan Ismail Sabri selain menafikan artikel berkenaan mengandungi kenyataan yang bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap plaintif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!