[VIDEO] Kembalikan GST, kenakan levi petrol - Ka Siong
SHAH ALAM - Pengembalian semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan pengenalan levi petrol antara dua cadangan yang perlu diberi perhatian sekiranya kerajaan mahu menambah pendapatan negara menerusi cukai serta subsidi.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, GST disifatkan lebih adil ketimbang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana ia diambil kira berdasarkan perbelanjaan individu semata-mata.
Selain itu, menurutnya, levi petrol juga perlu dikenakan terhadap pengguna semasa proses pembaharuan cukai jalan setiap tahun.
"Kalau seseorang itu mampu membeli kereta lebih RM300,000 atau RM500,000, mereka pasti mampu membayar kos tambahan contohnya RM2,600 setahun sebagai levi petrol.
"Cara ini senang dan mutlak berbanding sistem subsidi 'dua darjat' yang dicadangkan kerajaan.
"Hanya satu harga petrol bersubsidi diperlukan di seluruh negara dan kerajaan masih dapat mengutip dana daripada golongan berkemampuan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas tentang hutang kerajaan Persekutuan meningkat RM50 bilion kepada RM1.22 trilion setakat penghujung April tahun ini berbanding RM1.17 trilion pada akhir tahun lalu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 menjelaskan, jumlah hutang baharu negara dijangka kian menurun kepada RM85 bilion pada 2024 dan diunjurkan terus berkurang kepada RM80 bilion menjelang 2025.
Katanya, ia menurun daripada sekitar RM100 bilion pada 2022 kepada lebih RM90 bilion pada 2023 hasil langkah-langkah tegas dan berperingkat yang diambil kerajaan bagi mengurangkan kadar defisit secara konsisten.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!