Buli siber boleh jejas kesihatan mental remaja

Jamaliah (dua dari kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim (tengah) ketika Majlis Perasmian Hari Psikologi dan Program Kaunselor Hab SeHAT di Dewan Jubli Perak SAAS pada Isnin
Jamaliah (dua dari kanan) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim (tengah) ketika Majlis Perasmian Hari Psikologi dan Program Kaunselor Hab SeHAT di Dewan Jubli Perak SAAS pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor pertimbang melaksanakan program perintis peringkat sekolah berkait cara menangani buli siber.

Exconya, Jamaliah Jamaluddin berkata, itu antara salah satu perkara yang akan diberikan tumpuan susulan isu buli siber boleh menyebabkan kesihatan mental khususnya dalam kalangan remaja.

Menurutnya, memperkuat daya kesihatan mental antara pencegahan yang dilihat perlu melalui siri bengkel selain pendedahan platform yang boleh digunakan untuk menyalurkan aduan dan laporan.

"Sesetengah komen toksik seperti penampilan dan bentuk fizikal boleh mempengaruhi emosi remaja hingga keadaan boleh menjadi semakin buruk.

"Ada kalanya mereka rasa sendirian, tak tahu nak buat apa, takut untuk berkongsi dengan ibu bapa, bimbang jika diberitahu tiada sebarang tindakan yang boleh keadaan bertambah buruk.

"Jadi selain mengambil tindakan kepada pelaku siber, perlu ada inisiatif pencegahan melalui cara pertingkat daya kesihatan mental remaja," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Psikologi dan Program Kaunselor Hab SeHAT di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) di sini.

Jamaliah pada masa sama menegaskan, masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Tahun 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati bahawa seramai 1 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan atau bersamaan dengan 4.6 peratus.

"Bilangan ini meningkat sebanyak dua kali ganda dari tahun 2019 hingga 2023 manakala kelaziman yang paling tinggi adalah dalam kalangan remaja berumur 16 hingga 19 tahun iaitu 7.9 peratus dan dewasa berumur 20 hingga 29 tahun iaitu sebanyak 7.6 peratus.

"Berdasarkan dapatan ini, golongan muda dilihat lebih mudah mengalami atau berhadapan dengan situasi kemurungan," katanya.

Justeru beliau berharap, cadangan projek perintis bersama sekolah itu mendapat sokongan peringkat negeri dan Persekutuan sebagai langkah pencegahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!