Suspek bunuh Lady Cacabella meninggal dunia
KUALA LUMPUR - Suspek utama kes bunuh seorang wanita pada 5 Februari lalu di sebuah rumah di Kampung Padang Balang, Sentul di sini disahkan meninggal dunia kelmarin dipercayai akibat meminum cecair pencuci lantai selepas kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pada hari kejadian (5 Februari), suspek yang berada di lokasi itu ditemui dalam keadaan lemah kerana mengalami muntah darah dan sesak nafas.
“Suspek kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia kelmarin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian pada 5 Februari lalu, seorang wanita dikenali sebagai Lady Cacabella, 24, dipercayai maut ditikam oleh teman lelakinya yang berusia 43 tahun sebelum lelaki itu meminum cecair pencuci lantai.
Difahamkan, mangsa yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan sering berkunjung ke rumah lelaki itu dan saling mengenali antara satu sama lain dalam tempoh yang lama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!