Sekolah politik akan direalisasi segera selepas perbincangan modul - Wan Rosdy

Wan Rosdy (tengah) menyampaikan replika cek kepada penerima daripada kluster masjid dan surau kebenaran Jumaat pada majlis pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Isnin.
Wan Rosdy (tengah) menyampaikan replika cek kepada penerima daripada kluster masjid dan surau kebenaran Jumaat pada majlis pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan menyegerakan usaha untuk merealisasikan sekolah politik seperti yang dinyatakan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad.

Beliau berkata, perbincangan lanjut mengenai modul dan silibus sekolah berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat.

"Sekolah politik ini bukan satu perkara yang boleh diambil mudah, kita nak tengok silibus, modulnya macam mana dan kumpulan sasar itu siapa.

"Jadi, saya akan mengadakan perbincangan lanjut dan dalam masa terdekat, saya akan panggil, kita akan melihat perkara ini perlu banyak perbincangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2024 kepada masjid, surau kebenaran Jumaat, pelajar tahfiz dan mualaf di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Ahmad Zahid ketika merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Pahang di Temerloh memaklumkan BN akan menubuhkan sekolah politik di bawah Majlis Latihan dan Penkaderan UMNO bagi melatih pemimpin pelapis yang berpotensi diketengahkan sebagai bakal calon dalam pilihan raya umum (PRU).

Katanya, melalui sekolah politik itu, mereka yang dikenal pasti dan terpilih akan diberi latihan secara teori dan amali kepimpinan.

Ahmad Zahid turut mengumumkan bahawa tugas sebagai Pengetua Sekolah Politik akan dipikul oleh Pengerusi UMNO Pahang iaitu Wan Rosdy.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pihaknya akan mengenal pasti kumpulan sasar yang akan mengikuti sekolah tersebut.

Jelasnya, mereka yang dipilih ke sekolah politik itu tidak semestinya akan menjadi calon dalam PRU.

"Di dalam sekolah itu nanti akan ada pelapis-pelapis, dan mungkin ada (yang akan jadi) calon... yang (ini) kita sendiri pun tak tahu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!