Banjir: KDN gerakkan 66,042 anggota, 10,540 aset

KDN akan menggerakkan 66,042 anggota dan 10,540 aset agensi di bawahnya bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut. Gambar hiasan
KDN akan menggerakkan 66,042 anggota dan 10,540 aset agensi di bawahnya bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Sejumlah 66,042 anggota dan 10,540 aset jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diatur gerak di seluruh negara bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

KDN dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan jumlah itu terdiri daripada 17,216 anggota sumber manusia Polis Diraja Malaysia (PDRM) berserta 9,936 aset pelbagai jenis.

"Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) pula bersedia dengan 47,100 anggota berserta 457 aset manakala 1,726 anggota dan 147 aset daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya.

Ujar KDN, antara peranan yang akan dilaksanakan oleh anggota ketiga-tiga agensi terbabit termasuklah pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik di tempat bencana.

Selain itu, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana, penugasan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat pangkalan bekalan hadapan, operasi mencari dan menyelamat serta penugasan pasca bencana banjir.

"PDRM juga akan bertindak sebagai Komander Operasi Bencana seperti yang ditetapkan dalam Arahan Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) Nombor 1, Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara," jelas kementerian itu.

Dalam pada itu, KDN menasihatkan seluruh rakyat Malaysia yang berisiko terkesan akibat bencana banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, berwaspada dan bertindak dengan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

"Kementerian juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa-mangsa banjir.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir dengan menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03- 2266 3444 / 03-2266 3451 atau menghubungi talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan.

Artikel Berkaitan:

"Untuk laporan terkini dan sahih berkaitan bencana, orang ramai boleh layari www.portalbencana.nadma.gov.my," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!