Ekonomi Turkiye di landasan tepat

Mehmet Simsek - Foto: Reuters
Mehmet Simsek - Foto: Reuters
A
A
A

ISTANBUL - Minat yang kukuh terhadap Turkiye jelas menunjukkan bahawa program ekonomi negara itu sedang bergerak di landasan yang betul, kata Menteri Kewangan Turkiye, Mehmet Simsek.

Beliau baru-baru ini menghadiri mesyuarat tahunan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia di Amerika Syarikat (AS), turut mengadakan beberapa siri pertemuan pelabur dan perbincangan dua hala.

“Semasa pertemuan kami, kami menjelaskan hasil program kami dan bagaimana kami akan merealisasikan potensi negara dengan memastikan keuntungan program ini kekal,” katanya menerusi platform media sosial X.

Sementara itu menerusi satu acara di Brookings Institution, Simsek turut membentangkan keadaan semasa mengenai ekonomi Turkiye.

“Kami menjangkakan inflasi akan menurun ke angka satu digit pada akhir 2026. Inflasi sedang bertindak balas terhadap program yang kami laksanakan,” kata menteri itu, sambil menambah bahawa penurunan inflasi itu akan melampaui 'kesan asas'.

Menurut Simsek, kesan dasar kewangan mula dirasai sementara dasar pendapatan yang lebih menyokong ekonomi akan mempercepatkan proses disinflasi sementara tindak balas pasaran mula menunjukkan peningkatan.

Antara pegawai tertinggi yang ditemui oleh Simsek ialah Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen; Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva dan Presiden Bank Dunia, Ajay Gupta.

Sementara itu, Yellen menulis di akaun X, mengatakan beliau telah berbincang dengan Simsek dan Gabenor Bank Pusat Turkiye, Fatih Karahan berpendapat bahawa, Turkiye telah melaksanakan agenda reformasi ekonomi yang serius serta kepentingan menentang pengelakan sekatan dan pembiayaan keganasan.

Artikel Berkaitan:

Bagi Georgieva pula, beliau mengucapkan penghargaan terhadap tindakan berani Turkiye dan negara itu sedang mencapai kemajuan yang baik dalam mengurangkan inflasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!