SHMMP Deepavali: 277 anggota KPDN pantau harga di Selangor
KLANG - Seramai 277 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dan Pegawai Pemantau Harga (PPH) ditugaskan memantau pematuhan peniaga yang menjual barangan harga terkawal di negeri ini berkuat kuasa Isnin sehingga 3 November.
Ia selaras pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 diumumkan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Rasey berkata, tempoh pelaksanaannya adalah selama tujuh hari iaitu semasa perayaan dan tiga hari sebelum serta tiga hari selepas perayaan.
"Sebanyak lapan jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024.
"Senarai barangan adalah daging kambing, biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil, bawang merah besar import dan kacang dal," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail yang hadir bagi mengetuai pemeriksaan pematuhan di Pasaraya Econsave, Pandamaran di sini pada Isnin.
Mohd Zuhairi berkata, sepanjang penguatkuasaan skim itu, KPDN Selangor akan melakukan pemeriksaan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan awam seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
Menurutnya, antara diberi tumpuan dalam pemeriksaan pematuhan adalah penggunaan tanda harga berwarna merah jambu, pematuhan penentusahan alat timbang sukat, pematuhan harga maksimum runcit dan borong serta keberadaan bekalan.
"Pelaksanaan skim ini dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya berlaku ketidakpatuhan di bawah skim ini peniaga boleh dikenakan penalti," katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, KPDN Selangor percaya prestasi pematuhan peniaga di Selangor sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali 2024 berupaya mencapai pematuhan kendiri yang baik secara konsisten sehingga pelaksanaan SHMMP Krismas 2024.
"Pada masa sama, prestasi keberadaan bekalan di Selangor adalah terkawal dan pemeriksaan bekalan giat dilakukan bagi membolehkan tindakan segera dan berfokus dapat dilaksanakan terhadap lokaliti yang terganggu bekalannya," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!