'Terima permohonan maaf Najib, bersalah atau tidak mahkamah tentukan' - Rizam
KLANG - Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail menyambut baik permohonan maaf secara terbuka Datuk Seri Najib Razak kepada rakyat Malaysia.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar bagaimanapun berkata, berhubung kes salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula ia perlu diserahkan kepada mahkamah untuk menentukannya.
Ini kerana, ujarnya, kes tersebut masih lagi di peringkat perbicaraan.
"Kita sambut baik permohonan maaf Datuk Seri Najib Razak dan kita sedia maklum kes itu di peringkat perbicaraan serta biarlah mahkamah yang menentukan.
"Bagi saya, kita selaku rakyat menyambut baik permohonan maaf beliau," katanya ketika ditemui selepas mengetuai pemeriksaan pematuhan harga barang terkawal dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor di Pasaraya Econsave, Pandamaran di sini pada Ahad.
Ketika ditanya mengenai pelbagai pandangan dilontarkan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan mengenai permohonan maaf bekas Perdana Menteri itu, beliau berkata, ia mungkin hanya pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian parti mereka.
"Itu mungkin pandangan peribadi dan melalui pandangan rasmi di peringkat parti masih belum ada sebarang kenyataan daripada mana-mana parti," ujarnya.
Pada Isnin, DAP menyifatkan permohonan maaf terbuka Najib kepada rakyat Malaysia berhubung kes salah laku dalam syarikat 1MDB tidak membawa apa-apa makna.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke seperti dilaporkan media memaklumkan, mahkamah sebelum ini telah membuktikan dan menjatuhkan hukuman bersalah ke atas bekas Perdana Menteri itu.
Khamis lalu, Najib membuat permohonan maaf dalam kenyataan yang dibacakan oleh anaknya Datuk Mohamad Nizar.
Bekas Perdana menteri itu kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dilaporkan media menerima permohonan maaf Najib itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!