2,212kg tembakau awet gagal diseludup

Samsudin (tengah) berbincang dengan pegawainya mengenai hasil rampasan tersebut di pejabatnya di sini hari ini.
Samsudin (tengah) berbincang dengan pegawainya mengenai hasil rampasan tersebut di pejabatnya di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU – Cubaan menyeludup 2,212 kilogram tembakau awetan matahari dan tembakau awetan pemanas gagal apabila dua buah van yang mengandungi 151 bungkusan bahan itu berjaya dikesan pihak Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dalam satu serbuan di Tanah Merah, 4 Februari lalu.

Ketua Pengarahnya, Samsudin Noor berkata, serbuan hasil maklumat awam itu dilakukan pada jam 1.30 pagi di Alor Pasir dan ia merupakan rampasan kedua LKTN tahun ini dengan nilai keseluruhan melibatkan RM110,000.

Menurutnya, tembakau dianggarkan berjumlah RM60,000 itu dipercayai untuk pasaran dalam negara terutamanya kepada mereka yang tidak mempunyai lesen sah untuk memiliki atau membeli bahan tersebut daripada pasaran import.

“Kita percaya pasarannya nanti akan melibatkan kawasan tengah iaitu Kuala Lumpur bagi kegunaan pembuatan shisha, vape dan sebagainya.

"Mungkin mereka (pembeli) ini sukar mendapatkan lesen melibatkan operasi perniagaan itu,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat berikutan kedua-dua pemandu van berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran dua penguat kuasa LKTN dan enam penguat kuasa dari Kastam yang tiba di lokasi tersebut.

"Kita percaya tembakau itu dari negara jiran dan dibawa masuk untuk disimpan di tempat penyimpanan sebelum dipasarkan kepada pelanggan," katanya.

Mengulas lanjut, Samsudin berkata, kesalahan tersebut termaktub mengikut Seksyen 52(1) Akta LKTN 2009 yang memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh memindahkan, mengangkut tembakau diawet atau mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut melainkan mendapat kelulusan bertulis daripada LKTN terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Mana-mana pihak yang gagal mendapat kelulusan bertulis boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Mengulas jumlah keseluruhan pemegang lesen bahan tersebut, Samsudin memberitahu, untuk tahun lalu, sebanyak 16 syarikat mempunyai lesen sah dan 11 juta kilogram tembakau juga diberikan permit import bagi memenuhi permintaan semasa.

“Sebenarnya tembakau yang diimport dari negara jiran sekarang ini telah kita kurangkan pembayaran cukainya iaitu hanya lima peratus melibatkan negara rantau ASEAN. Mungkin ini mereka tidak tahu.

"Mereka sebenarnya boleh mendapatkan lesen dan berhubung dengan kami untuk mendapatkan kelulusan dan sebagainya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!