Belanjawan Selangor 2025: Bentang inisiatif khusus pacu ekonomi negeri
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan membentangkan beberapa inisiatif khusus dalam Belanjawan Selangor 2025 bagi memacu ekonomi serta menarik pelaburan ke negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, setakat Oktober 2024, kerajaan negeri Selangor telah berjaya mengumpulkan kutipan hasil berjumlah RM2.218 bilion.
Menurutnya, jumlah tersebut telah melebihi sasaran awal ditetapkan iaitu pada RM2.2 bilion dan merupakan hasil dedikasi dan usaha warga Selangor.
"Perkembangan ini turut dipacu oleh pembukaan beberapa kawasan perindustrian baharu dan pelbagai projek pembangunan di Selangor.
"Insya-ALLAH, dalam Belanjawan Selangor 2025 saya akan membentangkan beberapa lagi inisiatif khusus bagi memacu ekonomi serta menarik pelaburan ke Selangor.
"Semoga kemakmuran ekonomi ini dapat kita nikmati bersama," ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.
Pada September lalu, Menteri Besar memaklumkan, Belanjawan Selangor 2025 yang sepatutnya dibentangkan pada 8 November diubah kepada pertengahan November depan.
Beliau berkata, ini kerana tarikh pembentangan belanjawan tahunan itu dianjak berikutan kebanyakan pegawai agensi kerajaan negeri perlu menghadiri satu forum khas di Mesir pada tarikh tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!