Tiada pembangunan di hutan Kledang Saiong: PKNP
IPOH - Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) tidak akan membuat sebarang pembangunan di kawasan hutan Kledang Saiong berhampiran Taman Chepor Sentosa, di sini kerana mengambil kira kebimbangan dan bantahan penduduk ekoran kejadian banjir lumpur yang berlaku sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ariff Yeop Ishak berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan untuk mewartakan semula kawasan itu sebagai hutan simpan.
Beliau berkata, perancangan asal sebahagian kawasan hutan simpan tersebut telah dinyahwarta sebelum ini untuk tujuan pertanian.
"Kawasan yang dibersihkan ini tidak akan dibangunkan, sebaliknya kita akan kembalikan kawasan tersebut sebagai kawasan hutan simpan.
"Kita mengambil kira kebimbangan penduduk dan keputusan PKNP.
"Kita tidak akan bangunkan kawasan itu jika ada pun untuk tujuan-tujuan perhutanan," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Taklimat Pembangunan Projek Perak High Technology Park Bersama Penduduk Taman Chepor Sentosa di sini hari ini.
Mohd Ariff berkata, kawasan hutan Kledang Saiong tersebut tidak termasuk dalam projek pembangunan Taman Industri Berteknologi Tinggi Perak (PTHIP) yang sedang dibangunkan berhampiran kawasan berkenaan.
Pada 5 Januari lalu, kira-kira 1,000 penduduk di Taman Chepor Sentosa, di sini membantah tindakan penerokaan hutan Kledang Saiong kerana bimbang kejadian buruk berlaku.
Tindakan penduduk membuat bantahan tersebut berasas ekoran kejadian banjir lumpur yang pernah berlaku beberapa tahun lepas disebabkan penerokaan secara haram untuk tujuan pertanian.
ARTIKEL BERKAITAN:
Sebelum ini, isu penerokaan kawasan tersebut pernah didedahkan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM) pada 8 Disember tahun lalu.
Presiden SAM, R Meenakshi berkata, daripada pemerhatian, pihaknya mendapati kawasan pembalakan yang merupakan sebahagian kawasan Geopark Lembah Kinta itu telah dimusnahkan dan dieksploitasi sejak 1 November lalu.
Susulan pendedahan itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada 11 Disember 2019 menjelaskan, pembersihan tanah di Hutan Simpan Kledang Saiong berhampiran Chemor, di sini merupakan projek pembangunan tanah dusun dan bukannya digondolkan bagi tujuan aktiviti penebangan balak seperti dakwaan SAM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!