Wanita hilang 2 minggu di Gunung Snowy ditemui masih hidup

Seorang wanita yang dilaporkan hilang hampir dua minggu di kawasan Pergunungan Snowy, Australia, ditemukan masih hidup.
Seorang wanita yang dilaporkan hilang hampir dua minggu di kawasan Pergunungan Snowy, Australia, ditemukan masih hidup.
A
A
A

WASHINGTON - Seorang wanita yang dilaporkan hilang hampir dua minggu di kawasan Pergunungan Snowy, Australia, ditemukan masih hidup pada Ahad, namun mengalami kecederaan akibat terdedah kepada cuaca dan gigitan ular, lapor United Press International (UPI) yang memetik pihak berkuasa tempatan.

Lovisa Sjoberg, 48, dilaporkan hilang pada 21 Oktober tetapi kali terakhir dilihat memandu Mitsubishi Outlander berwarna kelabu pada 7 pagi waktu tempatan pada 15 Oktober di Taman Negara Kosciuszko, New South Wales, berhampiran sempadan Victoria. Pihak berkuasa berkata kali terakhir seseorang bercakap dengannya adalah pada 8 Oktober.

Polis New South Wales dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, Sjoberg ditemukan di Nungar Creek Trail di Taman Negara Kosciuszko pada kira-kira 4.50 petang oleh seorang pegawai Perkhidmatan Taman Negara dan Hidupan Liar.

Paramedik Ambulans NSW merawatnya di tempat kejadian akibat gigitan ular dan pendedahan kepada cuaca sebelum dia dibawa ke Hospital Daerah Cooma dalam keadaan stabil, kata Polis NSW.

Superintenden Daerah Polis Monaro, Toby Lindsay, memberitahu media tempatan bahawa Sjoberg ditemukan dalam keadaan "keliru dan cedera," memaklumkan kepada penyelamat bahawa dia telah digigit ular copperhead empat hari sebelumnya dan juga mengalami kecederaan pada buku lali.

Operasi mencari, yang dilancarkan pada 21 Oktober, melibatkan pegawai dari Daerah Polis Monaro bersama ejen penguatkuasaan undang-undang tempatan dan persekutuan, serta anggota masyarakat awam.

"Kami mempunyai lebih daripada 30 orang di lapangan setiap hari untuk mencari,” kata Lindsay.

"Kami sangat bimbang mengenai wanita yang hilang itu, dan amat bersyukur dia telah ditemukan dalam keadaan selamat dan agak baik."

Artikel Berkaitan:

Lindsay menambah bahawa Sjoberg "sangat bernasib baik kerana masih hidup.”

"Dia menghadapi cabaran yang amat berat." - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!