Anggur 'Shine Muscat' tiada racun berbahaya - KKM

Tiada sampel anggur daripada jenis 'Shine Muscat' mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan (MRL).
Tiada sampel anggur daripada jenis 'Shine Muscat' mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan (MRL).
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada sampel anggur daripada jenis 'Shine Muscat' mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan (MRL).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, dapatan berkenaan adalah hasil daripada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) yang dijalankan sepanjang 2020 sehingga September 2024.

Menurutnya, dalam tempoh berkenaan sejumlah 5,561 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan import telah dianalisis bagi residu racun perosak.

“Sejumlah 234 sampel anggur telah dianalisa dalam tempoh tersebut yang mana empat (1.71 peratus) telah dikesan tidak mematuhi MRL yang tidak melibatkan anggur Shine Muscat.

“Tindakan pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) pada kemasukan seterusnya dikenakan, yang mana konsainan makanan tersebut wajib ditahan dan pensampelan perlu dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, laporan The Thai Pesticide Alert Network (Thai-PAN) mendakwa anggur Shine Muscat mengandungi residu racun perosak melebihi MRL.

Dalam pada itu, KKM turut memaklumkan bahawa kelulusan pelepasan di pintu masuk hanya akan diberikan jika keputusan analisa mematuhi MRL yang ditetapkan.

Jelasnya, larangan pengimportan akan dikenakan sekiranya terdapat pelanggaran yang berulang.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai panduan kepada pengguna, setiap makanan yang diimport dan berbungkus, perlu mengandungi maklumat asas termasuk negara asal produk tersebut.

“Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk membaca label sebagai panduan.

“KKM peka dan prihatin terhadap keresahan pengguna akan perkara ini. KKM sentiasa menjalankan pemantauan di pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan keselamatan makanan adalah terjamin,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!