Fokus pendedahan, berbanding buru gelaran
PENGANJURAN pertandingan bertaraf dunia termasuk Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 bukan pentas untuk memburu kejuaraan, tetapi menjadi platform yang mampu memberi pendedahan bernilai tinggi buat skuad muda negara.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kejohanan tersebut menjadi medan terbaik buat para pemain muda kerana mereka memperoleh perlawanan berkualiti dan meraih pengalaman berharga berdepan dengan pasukan terbaik.
"Kalau tumpuan kita untuk memenangi SOJC, saya tak akan menjemput Australia dan New Zealand, kita jemput team-team lain di rantau ini.
"Jadi tiap-tiap tahun kita menang SOJC, itu bukan apa yang kita inginkan, kita mahu pertandingan yang ada nilai.
"Jerman dan Belanda antara beberapa negara yang memohon untuk menyertai SOJC 2024, tapi setelah kejurulatihan KHM dan Persatuan Hoki Johor bincang, kita rasa ini pasukan-pasukan (dipilih) yang kita jemput supaya pemain dapat pendedahan terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Piala Mirnawan 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Isnin.
Subahan menjelaskan, atas faktor kewangan, KHM merangka satu formula terbaik dengan mengadakan lebih banyak kejohanan di peringkat tempatan, namun menjemput beberapa negara luar sebagai pendedahan terbaik buat skuad hoki kebangsaan.
Beliau berkata, kos membawa pasukan ke luar negara mencecah RM400,000 dan jumlah tersebut meningkat sekiranya program jelajah di beberapa buah negara yang melibatkan belanja antara RM700,000 hingga RM800,000.
"Kalau kita nak keluar main di luar negara mahal, tak mampu. Jadi bila Persatuan Hoki Johor mengadakan SOJC, ia banyak membantu kami, tapi matlamat utama adalah bagi mereka (pemain muda) pendedahan, kalah atau menang itu tidak kisah," katanya.
Di sebalik prestasi buruk skuad muda negara, Subahan mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang Kejohanan Hoki Remaja Asia di Muscat, Oman bermula 26 November hingga 4 Disember.
"Di SOJC kita dapat lihat banyak kelemahan, itu saya tak nafi. Banyak kelemahan perlu diperbaiki dengan segera, tapi daripada segi kedudukan (dan) tak menang piala saya tak risau, kelemahan yang ada perlu diperbaiki," katanya.
Skuad hoki remaja negara menamatkan saingan SOJC 2024 di tempat terakhir apabila tewas 5-2 menerusi pukulan penentuan penalti selepas terikat 2-2 dengan Jepun pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Hoki Johor, Johor Bahru, Sabtu lepas.
Kejohanan disertai enam negara yang berlangsung sejak 19 Oktober itu menyaksikan Young Tigers gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam semua perlawanan.
Dalam pada itu, Subahan berkata, sebanyak empat pasukan kebangsaan dan 10 pasukan antarabangsa akan menghangatkan Kejohanan Piala Mirnawan 2024 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dari 3 hingga 9 November ini.
Tujuh pasukan yang akan bersaing dalam kategori lelaki kejohanan Bawah 17 Tahun (B-17) itu adalah Malaysia Speedy, Malaysia Tigers, Afrika Selatan, Kanada, Austria, Korea Selatan dan Queensland.
Bagi saingan wanita pula menyaksikan penyertaan Malaysia Speedy, Malaysia Tigers, Afrika Selatan, Jepun, Austria, Korea Selatan dan Queensland.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!