Mengapa Israel serang Iran?
TEHERAN - Serangan udara Israel yang menyasarkan tapak tentera dan membunuh empat askar pada hari Sabtu di Teheran, seperti sudah dijangka bahawa rejim Zionis akan menyerang balas.
Berikut adalah rentetan serangan tersebut.
Apa yang berlaku?
Tentera Israel mendakwa mereka hanya melakukan serangan tepat ke atas sasaran tentera di Iran pada hari Sabtu dan bukannya di kawasan penempatan penduduk di Teheran.
Wartawan AFP berkata, mereka mendengar letupan awal di Teheran pada jam 2.15 pagi (waktu tempatan)
Manakala, stesen penyiar Iran berkata, letupan itu disebabkan oleh pengaktifan sistem pertahanan udara sebagai tindak balas kepada serangan Israel pada awal pagi itu.
Tentera Israel berkata, mereka melancarkan serangan serentak ke atas kemudahan pembuatan dan stor penyimpanan peluru berpandu permukaan ke udara serta keupayaan senjata udara yang lain.
Mereka kemudian berkata bahawa serangan udara itu sebagai tindak balasnya terhadap serangan peluru berpandu Iran 1 Oktober dan mengatakan pesawat perang telah kembali dengan selamat dan misi itu telah 'berjaya'.
Sementara itu, tentera udara Iran mengesahkan serangan ke atas pangkalan tentera di wilayah Teheran, Khuzestan dan Ilam telah menyebabkan kerosakan kecil.
Tentera Iran berkata, empat anggotanya terbunuh, manakala pihak berkuasa penerbangan awam negara itu mengumumkan penyambungan semula jadual penerbangan selepas digantung sementara waktu.
Pada masa sama Kementerian Luar berkata, Iran mempunyai hak dan kewajipan mempertahankan diri sambil memetik Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa negara diserang perlu mempertahankan diri dari ancaman musuh.
Media negara di Syria berkata, Israel juga melancarkan serangan udara ke atas wilayahnya dari Bukit Golan dan Lubnan yang diduduki.
Iran dan Syria adalah sekutu dipanggil 'paksi penentang' yang juga termasuk Hizbullah di Lubnan dan Hamas di Gaza.
Hizbullah berkata, mereka telah menembak roket ke pangkalan perisikan Israel utara dan dron di pangkalan udara di selatan negara itu.
Mengapa Israel melancarkan serangan?
Tentera Israel berkata, mereka telah melancarkan serangan sebagai tindak balas kepada serangan berterusan selama berbulan-bulan dari Republik Islam itu.
"Rejim di Iran dan proksinya di rantau ini telah menyerang Israel tanpa henti sejak 7 Oktober, termasuk serangan langsung dari Iran," katanya.
Pada masa sama Israel juga berikrar membalas dendam terhadap Teheran atas serangan peluru berpandu 1 Oktober.
Menteri Pertahanan Yoav Gallant berkata, tindakan balas Israel akan dilakukan secara 'dahsyat, tepat dan mengejutkan'.
Pada 1 Oktober lalu, Iran melancarkan sekitar 200 peluru berpandu balistik ke Israel sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan pemimpin yang disokong Teheran seperti Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah.
Serangan terbaharu itu merupakan tindakan kedua kali Teheran ke atas wilayah Israel bagi membalas serangan rejim Zionis ke atas bangunan kedutaan Iran di Damsyik pada April lalu.
Apakah reaksi dunia?
Amerika Syarikat (AS) dan Britain menggesa kedua-dua pihak 'bertenang' selepas serangan balas tersebut, manakala negara Islam sekeras-kerasnya mengecam Israel kerana memburukkan lagi konflik yang sedang berlaku.
Sementara itu, Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, Sean Savett berkata serangan yang disasarkan Israel ke atas sasaran tentera Iran adalah 'satu latihan mempertahankan diri', dan AS tidak terbabit dalam konflik tersebut.
“Adalah matlamat kami untuk mempercepatkan diplomasi dan meredakan ketegangan di rantau Asia Barat,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyeru semua pihak supaya tidak bertindak balas manakala Jerman memberi amaran kepada Teheran terhadap konflik yang semakin meningkat secara besar-besaran di rantau tersebut.
Rusia dan Turkiye menggesa kedua-dua pihak menghentikan konflik segera.
Arab Saudi mengutuk Israel dan memberi amaran terhadap sebarang perluasan konflik di Asia Barat manakala Syria menyatakan Teheran mempunyai hak mempertahankan diri.
Qatar sebagai negara pengantara yang cuba menamatkan perang di Genting Gaza, menyatakan kebimbangannya mengenai kesan serius disebabkan peningkatan konflik akibat serangan balas Israel di Iran. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!