'Beg kuning' punca pasar malam kian sepi?
SUATU ketika dahulu, sebelum wujudnya jualan dalam talian, pasar malam memang menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk membeli pakaian, aksesori dan barang keperluan rumah kerana harganya yang jauh lebih murah berbanding pasar raya.
Sudah tentu kita juga tidak dapat melupakan kenangan ketika tertunggu-tunggu kedatangan hari beroperasinya pasar malam di kawasan perumahan, biasanya pada hujung minggu, untuk datang bersama seisi keluarga sambil membeli pelbagai juadah dan barangan menarik.
Namun keterujaan itu sudah semakin terhakis semenjak trend jualan secara online seperti Shopee dan Lazada hadir menawarkan pelbagai jenis produk menarik dengan harga boleh dikatakan setara dengan pasar malam.
Apabila aplikasi TikTok lahir dan memperkenalkan 'beg kuning' - merujuk khidmat beli-belah di platform tersebut, kegilaan pembeli semakin menjadi-jadi sehingga ia digelar 'racun' oleh warga maya kerana platform itu menjual terlalu banyak produk pada harga terlampau murah.
Justeru laporan Sinar Harian pada Ahad lalu tentang keadaan pasar malam kian malap bukanlah satu isu yang mengejutkan, malah telah dijangka dari awal.
Kebanyakan peniaga pasar malam masih boleh dapat untung jika menjual makanan dan minuman, apatah lagi jika ia sedang viral.
Namun bagi penjual pakaian, kasut, beg, kosmetik, mainan dan pelbagai barangan lain, gerai mereka mula sepi tanpa ada pelanggan yang singgah.
Realitinya, kebanyakan peniaga di pasar malam kini hanya sekadar meneruskan survival seadanya dengan hasil jualan semakin merudum.
Siapa yang hendak keluar rumah kalau boleh beli kasut, baju atau mainan anak sambil berbaring di rumah dan scroll telefon bimbit sahaja?
Apa yang kita kurang sedar, bahaya beg kuning ini sudah dikesan dari awal lagi, malah tahun lepas, Indonesia mengambil tindakan tegas menghentikan sebarang aktiviti jualan di TikTok.
Hasilnya, negara jiran kita itu berjaya memberi nafas semula kepada peniaga konvensional yang betul-betul berniaga di kedai dan jalanan, selain berupaya mengekang penjualan barang tiruan yang berleluasa di platform berkenaan.
Jika kita mahu pasar malam ceria semula seperti sebelum ini, mungkinkah sudah tiba masanya Malaysia juga mengkaji baik buruk beg kuning?
Atau mungkin ada mekanisme lain yang boleh difikirkan kerajaan untuk menyelamatkan survival peniaga kecil ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!