Urat buku lali putus selepas cuba tiru gaya pemain bola

Gara-gara ingin meniru aksi 'free style' pemain bola sepak, Nur Hidayah mengalami kecederaan pada buku lalinya.
Gara-gara ingin meniru aksi 'free style' pemain bola sepak, Nur Hidayah mengalami kecederaan pada buku lalinya.
A
A
A

SHAH ALAM - Gara-gara ingin meniru aksi 'free style' pemain bola sepak, seorang wanita berdepan pengalaman menyakitkan apabila putus urat buku lali selepas tersilap langkah.

Kesan daripada insiden berkenaan, Nur Hidayah Idris, 34, yang berasal dari Kelantan itu disahkan mengalami kecederaan tahap dua pada buku lalinya.

“Saya sudah pergi ke doktor pakar dan mereka telah mengesahkannya.

“Doktor cakap kalau keadaan jadi semakin tidak terkawal berkemungkinan juga sehingga ke tahap empat dan perlu melakukan pembedahan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Nur Hidayah yang juga seorang usahawan itu berkata, beliau merupakan seorang yang meminati aktiviti lasak termasuk futsal.

“Sebelum ini memang tidak pernah jadi begini tetapi pada malam kejadian saya dengan bersahaja ambil bola dari anak tanpa buat pemanasan badan, konon mahu buat gaya seperti pemain bola sepak.

Nur Hidayah kini perlu berjalan menggunakan tongkat selepas bahagian kakinya terpaksa disimen akibat kecederaan yang dialami.
Nur Hidayah kini perlu berjalan menggunakan tongkat selepas bahagian kakinya terpaksa disimen akibat kecederaan yang dialami.

“Kemudian, tiba-tiba buku lali saya terkehel. Orang sekeliling ingatkan saya bergurau tetapi sebenarnya tidak.

Artikel Berkaitan:

“Saya dengar bunyi seakan-akan patah dan kepala terus fikir kaki sudah patah, nasib baik suami ambilkan ais serta letak di kawasan yang sakit,” jelasnya.

Tambahnya, bahagian kaki yang cedera itu mungkin mengambil masa sehingga tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya.

Menurut Nur Hidayah, bahagian bawah kakinya itu disimen dan kini perlu berjalan menggunakan tongkat.

“Sejujurnya masih rasa sakit lagi. Saya berpendapat mungkin sebab tak panaskan badan, kalau tidak memang saya akan bersenam di kawasan rumah dahulu.

“Selepas ini doktor sarankan untuk lebih berhati-hati kerana risikonya mungkin berulang sekali lagi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!