Rodri menang Ballon d'Or
PEMAIN tengah sensasi Sepanyol dan Manchester City, Rodri diumumkan sebagai pemenang Ballon d’Or 2024 selepas cemerlang bersama negara serta kelabnya.
Rodri yang berehat panjang akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) menewaskan pemain Brazil, Vinicius Jr dan pemain England, Jude Bellingham, kedua-duanya dari Real Madrid, untuk memenangi hadiah berprestij itu.
Beliau mengalami kecederaan pada lutut kanan ketika Manchester City seri 2-2 dengan Arsenal dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, September lalu.
Rodri, pemenang kali pertama anugerah itu memainkan peranan penting dalam membantu The Citizens kendalian Pep Guardiola memenangi trofi EPL kali keempat berturut-turut pada musim lalu.
Dia juga dinobatkan sebagai pemain terbaik Euro Jerman 2024 tahun ini selepas membantu Sepanyol menjulang kejuaraan keempat negara Eropah berkenaan.
Rodri kelahiran Madrid berusia 28 tahun itu adalah pemain tengah pertama memenangi Ballon d'Or sejak Lothar Matthaus pada 1990 dan pemain Sepanyol ketiga yang diiktiraf selepas Alfredo Di Stefano (1957 dan 1959) dan Luis Suarez (1960).
"Saya tidak mempunyai media sosial, jadi orang ramai tidak begitu mengenali. Saya cuma seorang lelaki biasa.
"Saya menikmati sukan ini serta profesion saya. Dan saya cuba menjadi orang yang baik dan tenang," ujar Rodri.
INFO
Ballon d’Or 2024
1. Ballon d'Or (Lelaki)
Rodri
2. Ballon d'Or (Wanita)
Aitana Bonmati
3. Trofi Gerd Müller
Kylian Mbappe
4. Trofi Gerd Muller
Harry Kane
5. Anugerah Socrates
Jenni Hermoso
6. Piala Kopa
Lamine Yamal
7. Kelab Terbaik (Lelaki)
Real Madrid
8. Kelab Terbaik (Wanita)
FC Barcelona Femení
9. Piala Yashin
Emiliano Martínez
10. Jurulatih Terbaik (Lelaki)
Carlo Ancelotti
11. Jurulatih Terbaik (Wanita)
Emma Hayes
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!