'Walk With Me With Me' pupuk kesedaran kewujudan OKU dalam masyarakat
KUALA NERUS - Seramai 100 orang kurang upaya (OKU) menyertai Program Walk With Me bagi memupuk kesedaran terhadap kewujudan golongan tersebut dalam kalangan masyarakat.
Program anjuran Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang berlangsung di Kampus Gong Badak pada Sabtu itu turut disertai 200 ibu bapa kepada peserta OKU tersebut.
Dekan Fakulti, Profesor Madya Dr Nazli Ismail berkata, kesedaran mengenai keutamaan terhadap golongan OKU itu harus dipupuk sejak kecil agar mereka tidak dipinggirkan dalam masyarakat.
"Seramai 100 mahasiswa UniSZA menyertai Program Walk With Me yang melibatkan peserta OKU dari Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga Terengganu, Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Kuala Nerus dan Kelab Siswa Istimewa (KSI).
"Sepanjang program ini, setiap peserta OKU akan berjalan bersama mahasiswa UniSZA secara berpasangan bagi membuktikan mereka boleh melakukan aktiviti seperti orang lain, namun dengan bantuan.
"Jadi, kita beri peluang kepada pelajar UniSZA untuk melakukan larian bersama-sama golongan OKU dari awak garisan permulaan sehingga penamat," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Jelas beliau, program tersebut dapat mendekatkan mahasiswa dengan golongan OKU, selain memberi kesedaran dan rasa empati dalam diri mahasiswa terhadap cabaran dan halangan yang dihadapi oleh golongan rentan itu.
Selain itu, katanya, program tersebut turut mengumpul dana untuk disalurkan kepada mereka memerlukan bagi memberi menjamin agar kebajikan golongan tersebut terjaga.
Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Terengganu (POKUAT), Fakhruddin Zakaria berkata, program itu memberi peluang kepada golongan mahasiswa memahami cabaran dan cara bergaul dengan golongan berkenaan.
"Program ini amat baik malah saya terharu melihat mahasiswa, pengurusan tertinggi, pensyarah dan pegawai UniSZA turun untuk menyantuni golongan OKU, sekaligus dapat merapatkan jurang di antara golongan OKU dan mahasiswa.
"Ia juga boleh menjadi sebahagian kempen kesedaran bahawa golongan OKU perlu disantuni, dan di bawa bersama masyarakat," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap pelbagai program bersama golongan OKU dapat diadakan bersama UniSZA termasuk bidang sukan, malah kursus kursus kemahiran, kursus bahasa, asas perniagaan bagi meningkatkan lagi kehidupan golongan tersebut.
Program berlangsung selama sehari itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Hafiz Yusoff.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!