[VIDEO] Pegawai kanan syarikat penerbangan gagal lapor rasuah RM1,000
SHAH ALAM - Seorang pegawai kanan pengurusan fasiliti sebuah syarikat penerbangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan tidak melaporkan rasuah RM1,000 pada tahun lalu.
Mohd Razif Hassan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu telah diberikan suapan iaitu RM1,000 melalui pindahan wang secara dalam talian daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik seorang lelaki berusia 52 tahun ke akaun bank sama milik tertuduh.
Ia sebagai balasan untuk mempercepatkan urusan sebuah syarikat kejuruteraan seorang lelaki dengan syarikat penerbangan, tempat tertuduh bekerja.
Perbuatan itu didakwa telah melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal melaporkan penyogokan di Maybank Islamic Berhad di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras di sini, pada 9 November 2023 lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 25(2) akta sama, yang membawa hukuman, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Mohd Yasri Yahaya berkata, pihaknya tidak membantah sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan ikat jamin kepada tertuduh.
"Saya mencadangkan, kadar itu ditetapkan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi kes," katanya.
Bagaimanapun, peguam, Shahidah Muslimah Roslan memohon kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung isteri dan dua anak berusia tiga dan tujuh tahun.
"Dia telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sejak disiasat malah tidak membantah sekiranya dikenakan syarat tambahan," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohd Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 29 November depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!