Subsidi bersasar RON95: T15, warga asing bayar ikut harga pasaran

Warga asing dan golongan T15 perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi. Foto hiasan
Warga asing dan golongan T15 perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga asing dan golongan T15 perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegas beliau, penyasaran subsidi tidak akan membebankan 85 peratus rakyat, justeru ahli-ahli Parlimen diingatkan agar tidak menjadi jaguh kepada golongan maha kaya.

"Soalnya sekarang apakah munasabah kerajaan meneruskan subsidi kepada bukan warganegara dan golongan teratas termasuk maha kaya.

"Sebab itu kita akan naikkan harga ikut harga pasaran kepada warga asing dan juga T15.

"Ini bukan perkara baharu. Sebab dalam penyasaran subsidi diesel digunakan prinsip yang sama," katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai definisi T15 dalam soal subsidi bersasar untuk petrol RON95 seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025 dan mekanisme yang akan digunakan berkaitan pelaksanaan cukai dividen dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 bagi pemegang saham individu.

Belanjawan 2025 Malaysia Madani menyaksikan kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025, dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.

Anwar ketika membentangkan perkara itu berkata, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!