Kerja pembaikan paip bocor IWK siap, jalan dibuka esok
GEORGE TOWN - Kerja pembaikan paip bocor milik Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Sri Nibong, Pantai Jerejak di sini telah siap tanpa masalah baharu dikenal pasti.
Sebelum ini kebocoran paip itu dikatakan menjadi punca berlaku lubang benam di kawasan berkenaan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, pihak IWK telah menyiapkan kerja pembaikan paip itu dalam tempoh seminggu seperti yang dijangkakan sebelum ini.
"Kerja pembaikan telah siap sepenuhnya dan tiada masalah paip bocor lain dikenal pasti.
"Kerja-kerja itu berjaya disiapkan oleh IWK dalam tempoh seminggu seperti jangkaan mereka sebelum ini," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Tambah Zairil, kerja penurapan jalan akan dijalankan sebelum ia dibuka kepada umum pada Rabu.
"Hari ini (Selasa) kerja penurapan akan dibuat dan dijangka siap hari ini juga.
"Jalan di situ akan dibuka semula untuk kegunaan orang awam esok (Rabu), insya-ALLAH," ujarnya.
Beliau berkata, setakat ini, kawasan kejadian dijamin selamat untuk orang awam.
"Ya, selamat untuk orang awam dan setakat ini, tiada kejadian mendapan atau rekahan di kawasan berhampiran.
"Bagaimanapun, kita akan memantau juga bagi memastikan tiada masalah lain yang timbul selepas ini," tambah beliau.
Pada 16 Oktober lalu Sinar Harian melaporkan, kebocoran paip IWK dipercayai menjadi punca berlakunya lubang benam di Taman Sri Nibong, Pantai Jerejak di sini.
Hasil penelitian dan siasatan awal mendapati, insiden itu berpunca daripada kebocoran paip di bawah tanah hingga menyebabkan pasir terhakis.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati, tiada mendapan atau rekahan baharu dikenal pasti berlaku di kawasan berdekatan dengan lokasi kejadian.
Hanya kawasan berlaku lubang benam sahaja disahkan tidak selamat dan telah ditutup untuk kegunaan orang awam.
Sementara itu, IWK dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan membaiki paip yang terjejas dan dijangka selesai dalam tempoh empat hingga tujuh hari.
Kerja-kerja tersebut mula dijalankan oleh IWK sejak jam 10 malam, 19 Oktober lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!