'Nombor telefon saya satu, isteri pun satu'
KOTA BHARU - Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beliau tidak pasti tujuan sebenar individu yang menyamar sebagai dirinya dengan mewujudkan grup WhatsApp sebagaimana heboh diperkatakan ketika ini.
"Saya tidak ada banyak nombor, nombor saya satu sahaja, isteri pun satu tiada dua.
"Tidak pasti apa tujuan individu tersebut nak menyamar sebagai saya. Saya yakin masyarakat tidak akan terpedaya.
"Saya tidak akan buat benda macam itu, apa gunanya saya buat grup WhatsApp, saya pun banyak kerja lain," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Sebelum itu beliau menyaksikan serah terima tugas pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby dengan Datuk Mohd Yusoff Mamat yang merupakan Ketua Polis Kelantan baharu.
Ujarnya, jika berfikir secara waras orang ramai tidak akan mempercayai perkara tersebut tetapi beliau bimbang sekiranya ada yang tertipu.
Menurut Ayob Khan, ramai rakan yang menghubungi beliau mengatakan ada nombor baharu dan sebagainya.
Beliau berkata, laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan telah dibuka.
"Insya-ALLAH kita akan dapat kesan individu terbabit," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat pemilik nombor yang menyamar sebagai 'Dato Ayob Khan Mydin' di aplikasi WhatsApp serta mengajak individu lain untuk turut menyertai kumpulannya di platform aplikasi tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, PDRM menegaskan bahawa Ayob Khan tidak pernah mengendalikan sebarang group khas WhatsApp.
Katanya, perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta berpotensi memburukkan imej pasukan PDRM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!