254 botol minyak 2T dijumpai sekitar Pantai Tanjung Kuala Kemasik
KEMAMAN - Sekumpulan sukarelawan pembersihan pantai berjaya mengumpul 254 botol bahan pelincir enjin dua lejang atau minyak 2T yang dibuang di sekitar kawasan Pantai Tanjung Kuala Kemasik di sini pada petang Isnin.
Pengerusi Geng Plastik Ija (GPI), Zulkefli Sarji berkata, botol plastik itu dipercayai milik nelayan atau pemilik bot yang meletakkan bot mereka di kawasan berkenaan.
Menurutnya, seramai 50 sukarelawan mengambil masa selama 45 minit untuk membersihkan kawasan pantai tersebut.
"Aktiviti pembersihan sampah semalam bermula jam 5.30 hingga 6.15 petang, sepanjang tempoh itu kita berjaya mengumpul sebanyak 299 kilogram sampah termasuk botol-botol minyak 2T serta plastik ais yang dibuang merata-rata oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Kita amat sedih kerana walaupun usaha dan kempen menjaga kelestarian alam dilakukan secara berterusan, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di merata-rata tempat.
"Usaha berterusan akan dilakukan bagi memastikan pantai yang cantik ini bebas dari pencemaran sampah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu) Mat Yassim Mohamed berkata, pihaknya akan meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan nelayan agar tidak membuang sampah di merata-rata tempat.
"Kita percaya botol-botol itu bukan daripada seorang nelayan, mungkin membabitkan beberapa pihak. Kita akan teliti perkara ini bagi memastikan sampah-sampah yang dibawa nelayan tidak dibuang ke laut.
"Kita juga akan menggalakkan nelayan untuk membawa pulang sampah-sarap mereka ke daratan agar ia dapat dibuang di tempat lebih selamat," ujarnya.
Ditanya mengenai bahaya botol 2T terhadap hidupan laut, katanya, ia mengandungi risiko yang agak minimum kerana kebanyakan botol-botol yang dibuang dalam keadaan tertutup.
"Botol-botol ini tidak tenggelam ke dasar laut dan akan dibawa arus ke tepian pantai sekali gus tidak akan memberi ancaman yang besar kepada hidupan marin.
"Kita percaya, ada juga keadaan di mana botol-botol ini dibuang di di tempat pangkalan nelayan berdekatan sungai lalu ia turun ke laut dan terdampar di tepi pantai.
"Apapun, kita akan cuba memperkasakan lebih lagi gerakan kempen kesedaran terhadap kaedah pembuangan sampah yang betul oleh golongan nelayan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!