Reman 10 suspek kes culik ahli perniagaan disambung tujuh hari
JOHOR BAHRU - Reman terhadap 10 individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes penculikan seorang ahli perniagaan pada 13 Oktober lalu disambung selama tujuh hari.
Turut direman ialah seorang suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang ditahan di kawasan Senai pada Isnin.
Perintah reman terhadap kesemua suspek warga tempatan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nor Farhana Mohd Ishak pada pagi Selasa.
Tahanan reman sehingga 5 November itu membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap kesemua suspek mengikut Akta Penculikan 1962.
Sebelum itu, kesemua 10 suspek yang berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan 13 individu berusia 23 hingga 58 tahun itu dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini.
Beliau berkata, salah seorang daripada yang ditahan itu merupakan ahli keluarga mangsa.
Berdasarkan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan, keluarga ahli perniagaan itu mendakwa terpaksa membayar RM20 juta bagi tujuan membebaskan mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!