Hutang isi rumah meningkat, cecah RM1.57 trilion - PM
![Anwar Ibrahim. Foto Jabatan Penerangan Malaysia](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/10/29/2867181.jpg)
KUALA LUMPUR - Hutang isi rumah meningkat daripada RM1.53 trilion pada akhir 2023 kepada RM1.57 trilion pada Jun lalu, dengan bahagian terbesar terdiri daripada pinjaman perumahan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu bersamaan dengan 83.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 84.2 peratus pada tahun lalu.
"Ia merangkumi 61 peratus daripada jumlah hutang isi rumah, diikuti oleh pinjaman kenderaan (13.5 peratus), pembiayaan peribadi (12.4 peratus) dan pinjaman untuk tujuan lain seperti pembelian harta bukan kediaman, hutang kad kredit, sekuriti dan sebagainya.
"Menyedari risiko keberhutangan isi rumah yang tinggi, kerajaan dan Bank Negara (BNM) sudah lama mengambil pendekatan yang berhemat dan berhati-hati dalam menangani risiko ini bagi memastikan ia tidak menjejaskan daya tahan kewangan isi rumah serta kestabilan sistem kewangan negara," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai peningkatan hutang isi rumah yang kini mencecah RM1.53 trilion dan langkah kementerian untuk memperkenalkan dasar yang lebih ketat bagi mengawal peningkatan hutang isi rumah.
Tambah Anwar, sebahagian besar hutang tertumpu kepada pembelian rumah dan kenderaan.
Sehubungan itu, kerajaan melakukan usaha berterusan untuk mengawal hutang isi rumah dan mengukuhkan daya tahan isi rumah termasuk melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab sejak 2012 dan meningkatkan tahap celik kewangan rakyat menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan.
"Oleh itu, inisiatif kerajaan untuk memastikan perumahan kekal mampu milik serta memperbaiki sistem pengangkutan awam yang lebih efisien memainkan peranan penting dalam mengawal pertumbuhan hutang secara berkesan," katanya.
Ujar beliau, kerajaan juga komited untuk mempercepatkan pembentangan cadangan Akta Kredit Pengguna yang akan mewajibkan penyedia kredit bukan bank seperti penyedia Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later, BNPL) mematuhi standard kehematan dan garis panduan yang berkaitan.
"Ia bagi melindungi pengguna kewangan dalam skim BNPL dan mengurangkan risiko keberhutangan berlebihan terutama dalam kalangan peminjam muda dan berpendapatan rendah," katanya.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, kerajaan akan terus memantau tahap keberhutangan isi rumah dan mengambil langkah yang bersesuaian untuk memastikan pertumbuhan paras hutang isi rumah tidak berlebihan dan kekal selaras dengan kemampuan peminjam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!