[VIDEO] PRN Sabah: GRS terbuka bincang dengan parti lain termasuk BN

A
A
A

PENAMPANG - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor terbuka berbincang dengan rakan parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah menegaskan kerajaan di bawah pimpinannya iaitu GRS dan Pakatan Harapan (PH) Plus adalah gandingan yang mantap ketika ini.

Hajiji ketika beramah mesra dengan ahli PBS ketika menghadiri persidangan perwakilan Tahunan PBS kali ke-39 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang.
Hajiji ketika beramah mesra dengan ahli PBS ketika menghadiri persidangan perwakilan Tahunan PBS kali ke-39 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang.

"Sekarang kita di dalam kerajaan GRS PH Plus, jadi cukup mantap, cukup baik, cukup harmoni, yang penting untuk kebaikan Sabah.

"Kita terbuka untuk berbincang dengan rakan-rakan semua parti termasuklah juga daripada BN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Kali Ke-39 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini pada Selasa.

Hajiji sebelum itu telah menyempurnakan perasmian majlis tersebut yang turut dihadiri pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Joachim Gunsalam; Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin.

Hajiji yang Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan bahawa BN dan PH telah memuktamadkan kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tumpuannya ketika ini adalah perpaduan dalam kalangan parti di bawah GRS.

Artikel Berkaitan:

"Kita fikir kita punya GRS, kekuatan kita. Jadi nanti tengok macam mana saya tidak boleh komen itu kerana itu pandangan beliau.

"Tetapi yang kita tekankan ialah perpaduan di kalangan parti-parti gabungan GRS termasuklah Parti Bersatu Sabah (PBS) ini," katanya.

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dilaporkan berkata, bahawa beliau tidak menolak kemungkinan GRS akan bekerjasama dengan BN-PH pada PRN Sabah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!