Polis tahan dua lelaki, rampas syabu 329.54kg bernilai RM10.9 juta
SUBANG JAYA - Urus niaga dadah di tepi jalan oleh dua 'runner' warga tempatan di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur dan Jalan Puchong Jaya, Selangor 'tergendala' apabila mereka ditahan pihak polis pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Nareotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihak polis memberkas suspek pertama berusia 34 tahun selepas menahan sebuah kereta jenis Proton Saga pada jam 10.50 malam.
Beliau berkata, kereta yang dipandu suspek itu kemudiannya dibawa ke sebuah rumah teres di Bandar Bukit Puchong, Selangor.
"Hasil pemeriksaan di sebuah bilik hujung di rumah tersebut, polis menemukan 319 bungkusan plastik berwarna hijau kekuningan yang mana di dalamnya mengandungi dadah jenis syabu.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah seberat 329.54 kilogram yang dianggarkan bernilai RM10.9 juta dan dua alat penimbang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini pada Selasa.
Kata beliau, seorang lagi 'runner' berusia 30 tahun turut ditahan pada hari yang sama jam 11.30 malam semasa sedang memandu kereta jenis Hyundai Sonata di Jalan Puchong Jaya.
Dalam dua tangkapan tersebut, beliau berkata, pihak polis telah menyita dua kereta yang dianggarkan bernilai RM60,000 dan barang kemas bernilai RM10,270.
Menurutnya, hasil semakan dilakukan kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau apabila suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah, manakala suspek kedua satu rekod jenayah.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah.
"Suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!