Kemunculan sekawan harimau di Jeram Mengaji, tidak benar - Perhilitan
KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menafikan kemunculan sekawan harimau di Jeram Mengaji, Pasir Puteh sebagaimana tular di media sosial sejak Isnin.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, gambar tersebut dipercayai tangkap layar daripada video di YouTube 'Tiger Family in Jim Corbett National Park' yang dimuat naik dua minggu lalu.
"Kami (Perhilitan) cukup kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu yang berbuat demikian.
"Ini kerana ia boleh mencetuskan ketidaktenteraman orang awam kerana berita palsu," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan untuk memeriksa sumber yang betul terlebih dahulu sebelum mempercayai serta berkongsi perkara terbabit.
Sebelum ini tular gambar lima ekor harimau dikatakan muncul di Jeram Mengaji yang dikongsi di grup serta status WhatsApp.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!