Sukar atasi laluan tikus bawa masuk dadah ke Malaysia
SUBANG JAYA - Dadah yang masuk ke negara ini kebanyakannya untuk pasaran antarabangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, Malaysia dijadikan transit dadah ke negara ketiga atau keempat bagi pasaran.
Menurutnya, bahan terlarang itu dibawa masuk ke negara ini menggunakan jalan tikus di sempadan negara.
"Saya tidak dapat memberikan dengan tepat jumlah sebenar laluan tikus yang ada kerana ia sentiasa berubah dari masa ke masa.
"Mereka boleh menutup dan menimbus laluan tikus ini dengan pantas setelah ia digunakan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini pada Selasa.
Beliau berkata, pihak polis sentiasa memantau ketat laluan tikus digunakan oleh pihak sindiket dadah.
Namun begitu katanya, batasan luas di sempadan negara sama ada di utara, selatan atau di Sabah dan Sarawak menyebabkan perkara itu sukar diatasi sepenuhnya.
Meskipun begitu, menurutnya, polis bersama agensi penguat kuasa lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sentiasa bekerjasama dalam menjaga laluan masuk ke negara ini.
Tegasnya, 'laluan panas' yang telah dikenal pasti akan diawasi sepenuhnya bagi mengekang aktiviti pihak sindiket membawa masuk dadah dari negara jiran.
Ditanya mengapa Malaysia dijadikan transit dadah ke negara ketiga atau keempat, Kok Chin berkata, harga dadah di luar adalah berkali ganda mahal.
Jelasnya, harga dadah di pasaran luar adalah tiga hingga lima kali ganda lebih tinggi daripada pasaran di Malaysia.
"Pihak sindiket akan membekalkan dadah melalui Malaysia ke pasaran antarabangsa lain.
"Keperluan dadah di luar agak terhad dan Malaysia dijadikan transit untuk memasarkan dadah yang dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di negara ketiga atau keempat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!