[VIDEO] Bekas penuntut sarjana dijel 30 tahun, 12 sebatan edar kokaina

A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki warga Nigeria yang juga bekas penuntut peringkat sarjana di sebuah universiti di Melaka, dipenjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, atas tuduhan mengedar dadah jenis kokaina lima tahun lalu.

Hakim, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menjatuhi Ngoforo Ebube Gospel, 45, hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Beliau berkata, setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan tertuduh, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kesalahan itu.

Menurutnya, ini merupakan kesalahan serius, yang mana hukuman mati boleh dikenakan terhadap tertuduh.

Ngoforo meninggalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa, selepas dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan.
Ngoforo meninggalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa, selepas dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan.

Bagaimanapun, susulan pemansuhan hukuman mati mandatori bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, mahkamah diberi kuasa budi bicara untuk tidak memberi hukuman gantung kepada tertuduh.

“Mengambil kira rayuan peguam dan pemberatan pendakwaan termasuk mitigasi tertuduh sendiri, mahkamah mengenakan hukuman 30 tahun penjara bermula tarikh tangkap 25 Oktober 2019 dan 12 sebatan,” katanya.

Semasa membaca keputusan penghakiman ringkas, Latifah berkata, dadah itu dijumpai dalam kereta bersama tertuduh, semasa serbuan pihak polis dibuat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tertuduh menyatakan dadah yang ditemui dalam beg galas itu merupakan milik seorang lelaki berbaju putih, sebagaimana yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

“Tertuduh memberitahu dia hanya menjaga beg galas terbabit buat sementara waktu, kerana lelaki berbaju putih itu mahu ke lapangan terbang.

“Mahkamah berpendapat, ia menimbulkan tanda tanya kerana ia bukan beg yang besar sedangkan saiznya boleh dibawa bersama lelaki berbaju putih itu.

“Dadah seberat 149.4gram itu, adalah tidak munasabah digunakan untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dan seorang lagi lelaki, didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu kokaina seberat 149.4 gram, di sebuah premis di Jalan SS7/26, Kelana Jaya, di sini pada jam 1.50 petang, 25 Oktober 2019 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan bermula Jun 2023, telah memanggil lima saksi pendakwaan dan dua pembelaan.

Semasa rayuan, peguam, Afifudin Ahmad Hafifi yang mewakili lelaki itu memohon anak guamnya tidak dihukum gantung kerana dia tidak pernah terlibat dalam jenayah lampau.

“Dia telah berkahwin dan mempunyai anak lelaki berusia lima tahun di samping menjaga ibu bapa yang uzur.

“Saya mohon dia diberi peluang kedua, iaitu hukuman pemenjaraan seumur hidup,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail membantah perkara itu dengan alasan tertuduh melakukan kesalahan serius.

“Saya mohon hukuman gantung diberikan kepada tertuduh kerana kes mengedar dadah bukan kesalahan yang remeh.

“Dia berada di Malaysia untuk belajar, namun pada masa sama memiliki dadah yang banyak, selain kokaina merupakan sejenis dadah yang mahal,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!