Tiada cadangan guna sistem Diat untuk kemalangan maut - Anthony

Anthony Loke. Foto Bernama
Anthony Loke. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang untuk mengguna pakai sistem Diat bagi menggantikan mana-mana hukuman sedia ada yang telah diperuntukkan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) berpandangan bahawa bentuk hukuman dalam perundangan semasa adalah memadai untuk memberi keadilan, mencegah jenayah, memberi peluang pemulihan kepada pesalah dan menghormati hak asasi manusia.

"Antara tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian adalah seperti dalam Seksyen 41, Akta 333 yang dipinda pada tahun 2020, menetapkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 5 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

"Bagi sabitan kali kedua atau kali kemudian, penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih daripada RM100,000," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sama ada kerajaan bercadang untuk mengkaji sistem Diat sebagai solusi alternatif kepada hukuman kemalangan maut dan opsyen yang lebih mesra kepada keluarga si mati sekali gus memberi masa depan kepada pelaku dan keluarganya.

Diat adalah istilah Arab untuk denda atau pampasan yang harus dibayar kerana melukai atau membunuh orang.

Anthony menambah, MOT sentiasa melaksanakan kajian secara berterusan terhadap undang-undang yang berkaitan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!