Filipina arah penduduk berpindah ketika taufan Kong-Rey semakin hampir

Amaran ribut dikeluarkan di 21 wilayah, termasuk lima wilayah yang baru-baru ini dilanda Ribut Tropika Trami, menyebabkan 125 kematian dan lebih 935,000 orang hilang tempat tinggal.
Amaran ribut dikeluarkan di 21 wilayah, termasuk lima wilayah yang baru-baru ini dilanda Ribut Tropika Trami, menyebabkan 125 kematian dan lebih 935,000 orang hilang tempat tinggal.
A
A
A

MANILA - Pihak berkuasa Filipina mengeluarkan arahan pemindahan di kawasan berisiko tinggi susulan Ribut Tropika Kong-Rey semakin menghampiri pantai timur laut negara itu pada Selasa.

Kong-Rey, yang turut dikenali sebagai Leon hampir mencapai kategori taufan, dengan angin berkelajuan 110 kilometer sejam dan tiupan sehingga 135 kilometer sejam, menurut biro cuaca negara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Amaran ribut dikeluarkan di 21 wilayah, termasuk lima wilayah yang baru-baru ini dilanda Ribut Tropika Trami, menyebabkan 125 kematian dan lebih 935,000 orang hilang tempat tinggal, menurut agensi bencana nasional.

Kebanyakan kes kematian berpunca akibat banjir dan tanah runtuh di wilayah Bicol di timur dan wilayah Batangas, Cavite, Laguna, Quezon, serta Rizal.

Sebanyak 28 orang masih hilang, manakala 115 cedera, menurut agensi bencana itu.

Pihak berkuasa mengarahkan penduduk di kawasan berkenaan supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan berpindah sebelum hujan lebat melanda.

"Langkah ini sangat penting untuk menyelamatkan nyawa.

"Bertindak secara proaktif akan menyelamatkan nyawa; lebih baik bertindak sekarang daripada menyesal kemudian," kata Setiausaha Pertahanan Gilberto Teodoro dalam satu kenyataan lewat Isnin.

Artikel Berkaitan:

Kong-Rey dilaporkan berada kira-kira 645 kilometer di timur bandar Tuguegarao di wilayah Cagayan, menurut biro cuaca. - Bernama/dpa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!